Pagoh jadi hab pendidikan tinggi

20 Julai 2012, Jumaat

http://www.utusan.com.my/info.asp?y=2012&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_06.htm

PAGOH 19 Julai – Kabinet bersetuju dengan cadangan mewujudkan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh dengan fasa pertama pembangunannya melibatkan kos sebanyak RM1 bilion.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembinaan yang dijadualkan bermula akhir tahun ini merangkumi kawasan seluas 202.3 hektar bagi membina cawangan empat institusi pengajian tinggi awam.

“Kabinet bersetuju dan meluluskan rancangan untuk menjadikan Pagoh sebagai hab pendidikan tinggi semalam. Perjanjian untuk melaksanakan projek ini akan dimeterai (dengan pemaju) dalam tempoh terdekat.

“Fasa pertama itu akan menempatkan kampus cawangan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan sebuah politeknik,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis Bersama Pesara Kerajaan Parlimen Pagoh di Seri Pekembar, di sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dan Ahli Parlimen Pagoh berkata, tempoh yang akan diambil untuk melaksanakan fasa pertama projek tersebut adalah antara tiga hingga empat tahun dan pada peringkat awal, seramai 10,000 penuntut akan mengikuti pengajian di keempat-empat institusi berkenaan.

Beliau berkata, kerajaan turut menawarkan kepada mana-mana universiti antarabangsa untuk membuka cawangan mereka di tapak sedia ada bagi merealisasikan hasrat menjadikan Pagoh sebagai hab pendidikan antarabangsa.

Menurutnya, sebelum ini Institut Teknologi Bandung pernah menyatakan minat untuk membuka kampus cawangan di situ, tetapi sehingga kini tiada perkembangan lanjut.

Beliau berkata, kawasan tersebut bakal dilengkapi dengan pelbagai kemudahan antaranya kompleks sukan dan perpustakaan yang akan digunakan secara bersama oleh penuntut manakala hostel dan kedai-kedai bakal dibangunkan oleh pemilik tanah, Sime Darby.

Dalam pada itu, Kementerian Pelajaran turut akan membina sekolah menengah, rendah dan agama baru di kawasan seluas 202.3 hektar di Paya Renchong di sini dan Bukit Gambir, Ledang.

Mengenai usaha membantu menangani krisis air di Selangor dan Wilayah Persekutuan, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menangani isu itu Isnin ini.

“Saya akan putuskan dalam satu mesyuarat bersama Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dengan lebih terperinci tentang status dan kedudukan air di Selangor.

“Ia mengenai peranan Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan peranan pembekal air seperti Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) dan apa situasi sebenar dan bagaimana kerajaan tangani soal ini,” katanya.

Menurut Muhyiddin, ramai yang tidak tahu kedudukan sebenar masalah air di negeri itu kerana telah dikelirukan dan mesyuarat tersebut juga akan meneliti peranan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat Selangor dalam hal berkenaan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s