6,550 dapat manfaat Sekolah Dalam Hospital

04 Ogos 2012, Sabtu

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120804/dn_12/6550-dapat-manfaat-Sekolah-Dalam-Hospital

NOORAINEE Abdul Rahman (tengah) memberi duit raya kepada Raja Hafiq Hafizi Ahmad Faizal, 7, semasa melawat Sekolah Dalam Hospital di Hospital Ampang, Selangor, semalam. – UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUALA LUMPUR 3 Ogos – Seramai 6,550 pesakit kanak-kanak telah mendapat manfaat pembelajaran daripada Sekolah Dalam Hospital (SDH) sejak ia diwujudkan setahun lalu.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman berkata, dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, seramai 5,371 pelajar dari tiga peringkat persekolahan iaitu prasekolah, sekolah rendah dan menengah memasuki SDH ketika menerima rawatan di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, Ampang dan Serdang.

Kata beliau, SDH yang merupakan inovasi baru dalam sejarah pendidikan negara berjaya mencapai objektifnya untuk menyediakan pendidikan berterusan secara formal dan tersusun melalui persekitaran kondusif supaya para pesakit turut tidak ketinggalan mendapat manfaat itu.

“Pada awal penubuhan sekolah ini, kita tidak dapat menjangkakan bagaimana sambutan ibu bapa dan pelajar terhadap persekitaran baru di hospital, iaitu adanya ruang dan peluang untuk terus bersekolah walaupun ketika itu anak-anak ini sedang menjalani rawatan.

“Namun, setelah melihat keperluan berdasarkan kemasukan kanak-kanak pada peringkat usia itu di hospital terbabit, maka ia diwujudkan dan ternyata jumlah kehadiran mencatat angka membanggakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Wad Kanak-Kanak Hospital Ampang dan menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada pesakit sempena ulang tahun pertama lokasi perintis SDH itu di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Ampang, Datin Dr. Aishah Ahmad Makinuddin; Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Azman Abu Bakar dan Pengarah Yayasan Nurul Yaqeen, Nor Zanah Jamari.

SDH yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 26 Julai 2011 dilaksanakan menerusi kerjasama antara Kementerian Pelajaran, Kementerian Kesihatan dan Projek Hati Nurani di bawah Yayasan Nurul Yaqeen.

Norainee yang juga penaung projek itu berkata, di SDH Hospital Serdang, kemasukan tertinggi adalah di peringkat prasekolah iaitu 328 murid, manakala SDH Kuala Lumpur bagi peringkat sekolah rendah (1,730) dan SDH Ampang bagi peringkat sekolah menengah (855) untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Menurut beliau, SDH akan diperluaskan ke hospital-hospital lain di seluruh negara mengikut keperluan pada masa akan datang setelah projek perintis itu berjaya dilaksanakan.