Pelajar dibelasah senior

05 Ogos 2012, Ahad

http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20120805/je_01/Pelajar-dibelasah-senior

Norakma Mohidin melihat kesan lebam pada badan anaknya, Mohd. Amirul Mukmin Mohd. Yusmiza akibat dibelasah pelajar senior.

KOTA TINGGI 4 Ogos – Gara-gara menegur sekumpulan pelajar membuat bising, seorang pelajar di sebuah sekolah asrama di Bandar Penawar dekat sini, dibelasah sekumpulan senior sehingga pengsan dan lebam di seluruh badan pada Khamis lalu.

Menurut pelajar tingkatan lima itu, Mohd. Amirul Mukmin Mohd Yusmiza, 17, kejadian pada pukul 1 pagi itu bermula apabila dia dikejutkan seorang pelajar yang tidak dikenali yang memberitahu ada pelajar senior mahu berjumpa dengannya.

“Ketika itu saya tidak terfikir akan dipukul tambahan pula saya masih dalam keadaan separuh sedar. Sebaik sahaja sampai di bilik pelajar berkenaan, salah seorang pelajar senior yang ada di situ bertanyakan soalan sebelum kira-kira tujuh atau lapan orang daripada mereka memukul saya bertubi-tubi.

“Akibat terkena pukulan di kepala saya terus pengsan dan tidak sedarkan diri. Saya juga tidak tahu siapa membawa saya pulang ke bilik kerana sejurus sedar, rakan sebilik sedang bersiap-siap untuk bersahur,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Bandar Penawar, di sini semalam.

Menurut Mohd. Amirul, sebelum kejadian dia ada menegur sekumpulan pelajar junior yang membuat bising sehingga mengganggu mereka yang lain mahu tidur tetapi tidak menyangka insiden itu boleh melibatkan pelajar senior sehingga dia dipukul.

Ibu mangsa, Norakma Mohidin, 40, berkata, Mohd. Amirul tidak pernah terlibat dengan masalah seumpama ini sejak belajar di sekolah asrama tersebut dan insiden yang berlaku menyebabkan dia dan suami berasa bimbang kerana mereka menetap di Muadzam Shah, Pahang.

Bapanya, Mohd. Yusmiza Mohd. Yunus, 41, pula mengharapkan pengajaran setimpal diberikan kepada mereka yang terlibat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.