Piawaian peperiksaan politeknik perlu dikaji – Khaled

05 Ogos 2012, Ahad

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120805/dn_08/Piawaian-peperiksaan-politeknik-perlu-dikaji—Khaled

JOHOR BAHRU 4 Ogos – Kementerian Pengajian Tinggi meminta semua politeknik mengkaji semula piawaian peperiksaan dan pemarkahan agar memudahkan pelajarnya memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, timbul kesukaran bagi lepasan politeknik untuk memasuki IPTA kerana piawaian pemarkahan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) yang lebih rendah daripada kolej matrikulasi dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Jika diamati kelulusan dari institusi-institusi lain termasuklah politeknik ataupun institusi pengajian tinggi swasta, pemarkahannya tidak sama berbanding dengan matrikulasi ataupun tingkatan enam.

“Kalau nak disamakan, institusi itu perlu lakukan kesamarataan antara pemarkahan, sebab jika lulusan politeknik memperoleh PNGK 3.6, belum tentu sama dengan PNGK yang dimiliki pelajar matrikulasi dan tingkatan enam,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada 193 orang kurang bernasib baik sempena Ramadan di Masjid Jamek Taman Rinting, di sini semalam.

Menurut Mohamed Khaled, pihak kementerian sedar mengenai rungutan lepasan diploma di politeknik yang gagal memasuki IPTA walaupun mencapai PNGK setinggi 3.5 dan ke atas.

“Hanya 3,000 daripada 12,000 permohonan lepasan politeknik berjaya melanjutkan pengajian ke IPTA pada tahun ini. Bagaimanapun, penuntut terbabit boleh merayu untuk memasuki IPTA atau universiti teknikal walaupun terpaksa bersaing dengan lepasan matrikulasi dan tingkatan enam,” katanya.