2012, Arkib Berita, Forum, IPT, Peperiksaan, Rencana

Politeknik perlu kaji piawaian peperiksaan

06 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120806/pe_05/Politeknik-perlu-kaji-piawaian-peperiksaan

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Pihak pengurusan politeknik wajar mengkaji semula piawaian peperiksaan sedia ada institusi itu agar pelajarnya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan mudah.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menjangkakan pihak pengurusan politeknik tidak mempunyai masalah menyemak semula sistem pemarkahannya kerana institusi berkenaan telah lama diwujudkan dan tentunya mempunyai banyak pengalaman.

‘‘Matlamat asal penubuhan politeknik adalah untuk melahirkan profesional. Tetapi jika pelajarnya tidak dapat menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi, maka sasaran awal itu mungkin tidak akan berjaya sepenuhnya.

‘‘Semakan semula itu tidak akan merugikan sesiapa sebaliknya memberi banyak keuntungan kepada negara dan kelebihan kepada pelajar politeknik pada masa depan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta semua politeknik mengkaji semula piawaian peperiksaan dan pemarkahan bagi memudahkan para pelajarnya memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Alimuddin yang bersetuju dengan cadangan itu berkata, sudah tiba masanya sistem-sistem berkaitan pendidikan di semua institusi pengajian tinggi diselaraskan supaya ia lebih adil dan selari dengan pelan transformasi pendidikan negara.

‘‘Dalam keadaan negara sedang hebat bersaing dengan negara-negara maju, tidak cukup jika pelajar politeknik sekadar berpuas hati dengan pengajian di peringkat diploma. Mereka seharusnya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,’’ katanya.

Advertisements
2012, Arkib Berita, Forum, Pembangunan Sekolah, Program, Rencana

Enam pelajar wakili negara ke cabaran perdagangan dunia

Peserta akhir Cabaran Perdagangan Antarabangsa (ITC) FedEx Express/Junior Achievement 2012 bergambar kenangan bersama barisan juri pertandingan itu di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

ENAM pelajar tingkatan empat mewakili tiga sekolah sekitar Lembah Klang menggalas harapan negara setelah terpilih menyertai Malaysia Cabaran Perdagangan Antarabangsa (ITC) FedEx Express/Junior Achievement 2012 yang berakhir di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Mereka terdiri daripada wakil pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pusat bandar Puchong 1, Vienoth Segar dan Tan Khai Wen; See Pei Er dan rakannya, Yovisha Vijayakumar (SMK Seafield) manakala SMK Bandar Utama 3 pula diwakili Tan Lu Ping dan Lee Nao JIN.

Pada pertandingan peringkat akhir kali kelima ini, mereka menewaskan 14 pelajar lain untuk membawa pulang hadiah berupa piala dan baucer buku MPH bernilai RM1,000 setiap pasukan.

Kesemua peserta mengambil masa selama tiga minggu untuk melengkapkan persiapan menjadi pasukan yang paling bijak mengetengahkan strategik pemasaran yang baik dalam aspek pengeluaran, eksport barangan dan pemasaran barangan ke destinasi pasaran luar negara.

Pelajar diadili barisan hakim profesional bagi memilih pasukan yang layak mewakili negara menyahut cabaran 24 pasukan lain dari Hong Kong, Jepun, Korea, New Zealand, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam di Hong Kong dari 27 hingga 29 Ogos ini.

Seramai 536 pelajar mewakili 29 sekolah menyertai pertandingan tersebut dengan memfokuskan aspek pembelajaran mengenai strategik dan menghasilkan perniagaan yang berkesan.

Penganjuran ITC FedEx Express/ Junior Achievement bertujuan membentuk fikiran pemimpin perniagaan pada masa hadapan dan menyedarkan mereka mengenai kemungkinan yang terdapat dalam ekonomi global.

2012, Arkib Berita, Forum, Inovasi, Pembangunan Sekolah, Program, Rencana

InSTAR raih dua emas pertandingan inovasi

06 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120806/pe_03/InSTAR-raih-dua-emas-pertandingan-inovasi

Pasukan Inovasi InsTAR bersama sijil dan pingat kemenangan masing-masing pada Pertandingan Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) sekolah Malaysia peringkat kebangsaan di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor baru baru ini.

Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak (InSTAR) sekali lagi menyerlahkan keupayaannya dengan memenangi dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa pada Pertandingan Reka Cipta Penyelidikan dan Inovasi (PRPI) sekolah Malaysia peringkat kebangsaan di Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor baru baru ini.

Pengetuanya, Lailatun Zalaliah berkata, kemenangan tersebut adalah kesinambungan daripada kejayaan yang diperoleh dalam pertandingan ciptaan dan inovasi peringkat antarabangsa di Thailand, Amerika Syarikat, Romania, Turki dan Taiwan.

“Kejayaan yang dicapai sepanjang tahun 2012 dalam bidang ciptaan dan inovasi ini diharap menjadi satu etos dan watak kepada InSTAR serta dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

2012, Arkib Berita, Forum, Pembangunan Sekolah, Peperiksaan, Rencana, Sistem, Surat

Pentaksiran secara holistik

06 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120806/pe_01/Pentaksiran-secara-holistik
Oleh Norizan Abdul Muhid
pendidikan@utusan.com.my

Ekoran rungutan dan dakwaan pelbagai pihak bahawa sistem pendidikan negara terlalu berpaksikan peperiksaan maka kerajaan memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan.

Sistem PBS adalah salah satu usaha kerajaan melalui Kementerian Pelajaran membangunkan modal insan secara holistik dengan menekankan penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika dan moral yang tinggi.

Matlamat itu seperti yang terkandung pada capaian Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.

Sistem PBS ini mula dilaksanakan di sekolah rendah pada tahun 2011 dan dijadualkan menjelang tahun 2016, murid-murid sekolah rendah akan menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah ditambah baik.

Bagi peringkat sekolah menengah, sistem PBS baru digerakkan dan dijangka dalam tempoh dua tahun berikutnya, ia akan mula dilaksanakan bagi penambahbaikan pada Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

PBS merupakan satu pentaksiran bersifat holistik yang dianggap berkemampuan menilai aspek kognitif (intelek), efektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Secara spesifik, PBS dioptimumkan bagi mentaksir bidang akademik dan bukan akademik, memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran di akhir satu unit pembelajaran) berasaskan sekolah.

Namun, apakah sebenar objektif PBS? Umum mengetahui pelaksanaan sistem baru ini ialah mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu, memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu dan membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu.

Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid.

Ia mengandungi proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

Harus ditegaskan bahawa Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard.

Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain.

Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.

PBS memberi autonomi kepada guru melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid kerana tujuan sistem ini diperkenalkan ialah untuk membantu guru dan murid mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Wajar diingatkan bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain malah kejayaan murid diukur bersandarkan standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran.

Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju.

Apa yang penting, PBS ini jika dilaksanakan dengan baik dan terancang, ia bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu dan pada masa yang sama memberi banyak manfaat serta mampu mengurangkan beban tugas guru.

Lebih jelas, proses penambahbaikan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran menerusi PBS ini memberi gambaran bahawa sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi suatu bentuk penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran.

2012, Arkib Berita, Forum, Masalah Guru, Surat

Kesal sikap guru

06 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20120806/fo_06/Kesal-sikap-guru
Bapa prihatin
Kuala Lumpur.

Saya amat terkilan melihatkan guru guru muda masa kini yang terlalu sibuk berpolitik dalam laman sosial. Adakah mereka tak sedar yang menjadi rakan atau pengikut mereka di laman sosial kebanyakannya anak murid mereka.

Saya lihat ada guru yang menggunakan kata kata kesat menghina, mencaci majikan mereka sendiri iaitu kerajaan yang memerintah. Adakah itu nilai yang mereka mahu anak didik mereka ikuti?

Mereka perlu berhati hati dilaman sosial. Anak murid mereka lebih mempercayai apa yang mereka katakan. Lagipun kerajaan sekarang adalah majikan mereka.

Walaupun pandangan politik anda berbeza janganlah menghasut orang lain mengikut anda. Semua orang ada hak untuk berpolitik tapi biar kena cara. Guru mesti ingat mereka adalah contoh kepada anak didik mereka. Bekerjalah dengan ikhlas janganlah tanam hasad dengki dalam bekerja.

2012, Arkib Berita, Forum, IPT, Surat

Diploma belum diiktiraf

06 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20120806/fo_04/Diploma-belum-diiktiraf
PELAJAR HAMPA
Sungai Besi, Kuala Lumpur.

SEBAGAI seorang pelajar Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) di sebuah institusi pengajian, saya kecewa apabila diploma milik saya masih belum diiktiraf kerajaan.

Lebih menambahkan kekecewaan saya apabila diploma itu di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Bukan itu saja, ada di antara institusi yang menawarkan kursus itu ditubuhkan sendiri oleh kerajaan seperti Kolej Kemahiran Tinggi Melaka dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengumumkan untuk mengiktiraf persijilan kemahiran Malaysia ini setaraf aliran akademik pada 23 Disember tahun lalu ketika bentang Bajet 2010.

Saya juga difahamkan bahawa sebanyak RM438 juta diperuntukkan untuk Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), selain RM 110 juta untuk pusat latihan kemahiran negeri dan institut latihan terpilih.

Malah difahamkan, Sijil Kemahiran Malaysia tahap 4 dan ke atas juga akan diiktiraf setaraf dengan aliran akademik.

Bagaimanapun, sehingga kini diploma saya masih belum diiktiraf.