Diploma belum diiktiraf

06 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20120806/fo_04/Diploma-belum-diiktiraf
PELAJAR HAMPA
Sungai Besi, Kuala Lumpur.

SEBAGAI seorang pelajar Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) di sebuah institusi pengajian, saya kecewa apabila diploma milik saya masih belum diiktiraf kerajaan.

Lebih menambahkan kekecewaan saya apabila diploma itu di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.

Bukan itu saja, ada di antara institusi yang menawarkan kursus itu ditubuhkan sendiri oleh kerajaan seperti Kolej Kemahiran Tinggi Melaka dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec).

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pernah mengumumkan untuk mengiktiraf persijilan kemahiran Malaysia ini setaraf aliran akademik pada 23 Disember tahun lalu ketika bentang Bajet 2010.

Saya juga difahamkan bahawa sebanyak RM438 juta diperuntukkan untuk Institut Kemahiran Mara (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi Mara dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), selain RM 110 juta untuk pusat latihan kemahiran negeri dan institut latihan terpilih.

Malah difahamkan, Sijil Kemahiran Malaysia tahap 4 dan ke atas juga akan diiktiraf setaraf dengan aliran akademik.

Bagaimanapun, sehingga kini diploma saya masih belum diiktiraf.