Politeknik perlu kaji piawaian peperiksaan

06 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120806/pe_05/Politeknik-perlu-kaji-piawaian-peperiksaan

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Pihak pengurusan politeknik wajar mengkaji semula piawaian peperiksaan sedia ada institusi itu agar pelajarnya dapat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan mudah.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom menjangkakan pihak pengurusan politeknik tidak mempunyai masalah menyemak semula sistem pemarkahannya kerana institusi berkenaan telah lama diwujudkan dan tentunya mempunyai banyak pengalaman.

‘‘Matlamat asal penubuhan politeknik adalah untuk melahirkan profesional. Tetapi jika pelajarnya tidak dapat menyambung pengajian ke tahap lebih tinggi, maka sasaran awal itu mungkin tidak akan berjaya sepenuhnya.

‘‘Semakan semula itu tidak akan merugikan sesiapa sebaliknya memberi banyak keuntungan kepada negara dan kelebihan kepada pelajar politeknik pada masa depan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas saranan Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta semua politeknik mengkaji semula piawaian peperiksaan dan pemarkahan bagi memudahkan para pelajarnya memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Alimuddin yang bersetuju dengan cadangan itu berkata, sudah tiba masanya sistem-sistem berkaitan pendidikan di semua institusi pengajian tinggi diselaraskan supaya ia lebih adil dan selari dengan pelan transformasi pendidikan negara.

‘‘Dalam keadaan negara sedang hebat bersaing dengan negara-negara maju, tidak cukup jika pelajar politeknik sekadar berpuas hati dengan pengajian di peringkat diploma. Mereka seharusnya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi,’’ katanya.