Pembantu Tadbir jawab guru kata kerani lembap

07 Ogos 2012, Selasa

http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20120807/fo_04/Pembantu-Tadbir-jawab-guru-kata-kerani-lembap
INSAN BIASA
Gurun

SEBAGAI penjawat awam, saya perasan yang akhir-akhir ini luahan ‘Guru’ banyak terpapar di dada-dada akhbar.

Pertama ‘isu kerani lembap’, kedua ‘isu cuti khas perayaan’ dan ketiga ‘isu penempatan Guru Lepasan Ijazah J-qaf’.

Saya merasakan golongan ini terlalu ingin diberi banyak keistimewaan walaupun banyak keistimewaan telah diberi oleh kerajaan kepada anda.

Mungkin, seperti sebelum ini, apa jua permintaan dan perjuangan golongan pendidik ini mudah diterima kerajaan, mereka ibarat diberi betis, mahu paha pula.

Untuk makluman ‘Guru’ berkaitan ‘isu kerani lembap’, saya menyarankan anda menyemak dan meneliti fail meja dan arahan-arahan kerja anda sebagai seorang yang bergelar ‘Guru’.

Anda tidak boleh menyalahkan Pembantu Tadbir di atas lambakan kerja-kerja anda. Anda tidak perlu membebankan pihak lain sekiranya tidak dapat menyiapkan tugasan anda. Kadangkala mereka juga muak dengan kerenah guru-guru yang mengarah itu ini dan satu lagi ayat yang dilihat anda seolah-olah mempertikai, menghina dan tidak faham kerjaya sebagai Pembantu Tadbir bahawa anda menyatakan bahawa anda adalah majikan Pembantu Tadbir.

Harus diingat, walaupun anda ‘Guru’, anda bukanlah majikan Pembantu Tadbir.

Hampir keseluruhan Pembantu Tadbir di segenap jabatan memiliki Diploma/Ijazah/Sarjana yang jauh lebih baik daripada anda dan tidak perlulah anda memandang rendah terhadap kerjaya mereka.

Pengalaman saya yang mempunyai ibu dan bapa saudara serta rakan-rakan yang bergelar guru, saya lihat mereka kurang mahir menggunakan komputer dan mengurus masa, tambahan pula apabila sesuatu yang urgent mula menggelabah.

Anda harus tahu kerjaya sebagai Pembantu Tadbir yang banyak menolong orang/pegawai atasan boleh membuat kerja di bawah tekanan dan cepat menyiapkan kerja melainkan dia seorang kakitangan yang malas dan tidak proaktif.

Kadangkala pegawai pun tidak cekap membuat kerja berdasarkan pengalaman saya yang telah bekerja di pelbagai jabatan swasta dan kerajaan.

Namun, tidak salah untuk Pembantu Tadbir membantu guru-guru tersebut, tetapi apabila terlalu banyak membantu, golongan guru menganggap itu adalah tugas Pembantu Tadbir dan mereka bebas melayari internet, bersembang kosong, aktiviti jualan langsung dan sempat pula membuat kerja sampingan lain di luar waktu bekerja.

Tidak wajarlah anda menikmati gaji besar sekiranya bebanan tugas anda digalas oleh pihak yang lain pula.

Anda sebagai guru ketika ini harus mencontohi guru-guru terdahulu yang membawa balik kerja ke rumah tanpa melibatkan kakitangan yang lain walaupun mereka bergaji kecil pada masa itu.

Mengenai isu ‘guru diberi cuti khas perayaan’ bagi memudahkan perjalanan balik ke kampung dan mengelak guru-guru mengambil cuti sakit semata-mata ingin balik awal ke kampung, adalah cadangan tidak masuk akal.

Apakah keistimewaan anda sehingga anda perlu diberi cuti rehat khas? Inikah mentaliti seorang pendidik? Mungkin anda kurang sensitif mengenai penjawat awam yang lain, yang juga mahu pulang ke kampung.

Kami menguruskan masa dan merancang cuti lebih awal dan ada lagi penjawat awam lain tidak pulang berhari raya dan tidak mudah untuk mengambil cuti perayaan kerana ada sistem giliran.

Saya hairan, kenapa perlu diberi cuti khas kepada golongan guru dan tidak salah kalau tidak dapat balik sehari sebelum hari raya, balik pada hari yang anda ada kelapangan.