Bakal guru dekati penghuni Sekolah Tunas Bakti

08 Ogos 2012, Rabu

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120808/pe_02/Bakal-guru-dekati-penghuni-Sekolah-Tunas-Bakti

KUCHING 7 Ogos – Seramai 19 guru pelatih Pengajian Agama ambilan Januari 2011 Institut Pendidikan Guru (IPG) Batu Lintang menyertai program lawatan ilmiah ke Sekolah Tunas Bakti di Samarahan baru-baru ini.

Program selama empat jam anjuran Jabatan Pengajian Agama Islam dan Moral (Japim) IPG Batu Lintang itu bertujuan mendekati 20 penghuni sekolah tersebut di samping membimbing mereka menjadi insan yang berakhlak mulia.

Mengetuai rombongan dan bertindak sebagai penyelaras program ialah Pensyarah Pembimbing IPG Batu Lintang, Sharifah Fatimah Wan Jamel.

Dalam pada itu, Ketua Japim IPG Batu Lintang, Sallehudin Sabar berkata, program tersebut wajar diteruskan kerana memberi manfaat kepada semua pihak, baik guru-guru pelatih mahupun penghuni sekolah berkenaan.

“IPG Batu Lintang sememangnya menggalakkan guru-guru pelatih terlibat dalam program bersifat komunikasi secara ilmiah kerana secara tidak langsung, mereka dapat bergaul dengan anggota masyarakat.

“Ia penting sebagai persiapan sebelum mereka melangkah ke fasa seterusnya, iaitu menjadi seorang pendidik,” katanya di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Timbalan Pengetua Sekolah Tunas Bakti, Hasbi Julaihi mengalu-alukan kehadiran rombongan IPG Batu Lintang yang disifatkan mampu memberi sokongan moral kepada para penghuni.

Katanya, penghuni sekolah itu yang masih muda memerlukan sokongan semua pihak untuk mendorong mereka berubah menjadi seorang muslim yang lebih baik dari segi akhlak dan akidah.