2012, Arkib Berita, Forum, Pembangunan Sekolah, Program, Rencana

Malaysia tempat kelima pertandingan Program Kuiz ASEAN

13 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120813/pe_02/Malaysia-tempat-kelima-pertandingan-Program-Kuiz-ASEAN

BRANDON (Tengah), Emilia dan Nabil Ersyad (Kanan) ceria sewaktu diumumkan sebagai johan, naib johan dan tempat ketiga pada Pertandingan Akhir Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2012 yang berlangsung pada Mei lalu.

MALAYSIA memenangi tempat kelima pertandingan Program Kuiz ASEAN 2012 kali ke-5 di Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini.

Negara diwakili tiga pelajar sekolah menengah terdiri daripada Brandon Ling Kie Chai, 17, dan rakan sekelasnya Emilia Muhd. Arif Stephen dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Sibu, Sarawak serta Nabil Ersyad Mohd. Noor Eddie Putera, pelajar tingkatan Lima Sekolah Sultan Alam Shah.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu turut dijayakan bersama Kementerian Pelajaran yang merupakan salah satu daripada aktiviti Jawatankuasa Budaya dan Informasi ASEAN (ASEAN-COCI) yang diadakan setiap dua tahun.

Ia bermula pada 2002, 2004, 2006 dan yang keempat pada tahun 2009, bertujuan mempromosikan ASEAN di kalangan belia di rantau ini.

Turut mengiringi tiga pelajar terlibat adalah guru pengiring Wong See Chiong dan Pegawai Jabatan Penerangan, Sharifah Anita Wafa Syed Munir Wafa.

Pelajar menjalani empat peringkat saringan sebelum ke pertandingan itu bermula Mac lalu yang turut disertai kira-kira 7,700 pelajar berusia 15 hingga 17 tahun di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pemilihan Brandon, Emilia dan Nabil Ersyad dibuat selepas ketiga-tiga mereka muncul johan, naib johan dan tempat ketiga pada Pertandingan Akhir Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2012 yang diadakan Mei lalu.

Pada pertandingan itu Brandon memperolehi markah tertinggi apabila menguasai pertandingan yang diadakan dalam dua segmen iaitu segmen pertama melibatkan soalan kategori sosial, alam sekitar, sains dan teknologi, politik, ekonomi dan sejarah manakala segmen kedua merupakan soalan pantas.

KPM menjadi AJK Induk Kuiz ASEAN 2012 Peringkat Kebangsaan kali ke-5.

Program itu turut meletakkan matlamat untuk mempertingkatkan tahap kefahaman dan kesedaran berkaitan ASEAN dalam aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial dalam kalangan generasi muda kini.

Advertisements
2012, Arkib Berita, Forum, Keselamatan Pelajar/Kesihatan, Pembangunan Sekolah, Program, Program Susu Sekolah, Rencana

Susu 1Malaysia selamat diminum

13 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120813/pe_01/Susu-1Malaysia-selamat-diminum
Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pendidikan@utusan.com.my

PENGURUS Hal Ehwal Korporat Ducth Lady Malaysia, Mohd. Afizi Mohd. Ross (tiga dari kiri) bersama wakil beberapa syarikat pembekal susu memegang pek susu 1Malaysia pada majlis Berbuka Puasa Program Susu 1Malaysia Bersama Media di Carcosa Seri Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bekalan susu ke sekolah menerusi Program Susu 1Malaysia (PS1M) yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu telah dijamin selamat oleh kerajaan dan terbukti tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan murid.

Pengurus Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Malaysia, Mohd. Afizi Mohd. Ross berkata, antara tujuan utama pelaksanaan program itu adalah untuk melahirkan generasi baru negara yang lebih kuat, tegap dan cerdas.

Menurutnya, di bawah program itu, pihaknya sudah mengedarkan 15.34 juta peka susu kepada 1,353 buah sekolah membabitkan seramai 295,738 murid di kawasan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

“Pihak kami akan terus mempergiatkan bantuan kepada semua murid sekolah di seluruh Malaysia bagi menyemarakkan program kesedaran mengenai kepentingan susu yang menjadi asas kepada tumbesaran kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mengadakan sesi taklimat PS1M bagi tahun 2012 dan majlis berbuka puasa bersama media di Carcosa Seri Negara baru-baru ini.

Hadir sama wakil-wakil syarikat susu dari Sabah International Dairies Sdn. Bhd. (SiD), Konsuma Sdn. Bhd. dan Hybrid Allied Sdn. Bhd. yang merupakan pembekal susu di bawah skim PS1M yang dilantik Kementerian Pelajaran, selain Dutch Lady.

Turut hadir wakil dari syarikat pemprosesan dan pembungkusan makanan utama, Tetra Pak (Malaysia) Sdn. Bhd. yang menjalin kerjasama dengan pembekal-pembekal tersebut.

Bagi syarikat pembekal susu SiD membabitkan 3,392 buah sekolah dengan seramai 580,306 pelajar di kawasan Sabah, Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Konsuma pula membekalkan sebanyak 22.72 juta pek susu di 1,409 buah sekolah melibatkan 272,289 pelajar di kawasan Johor dan Pahang.

Hybrid Allied mengedarkan 18.94 juta pek susu bagi kawasan Perak, Perlis dan Kedah melibatkan 1,465 buah sekolah dengan bilangan pelajar seramai 288,865 orang.

Menurut Mohd. Afizi, bekalan susu PS1M sudah bermula Mac lalu dan melalui pemerhatian yang dijalankan sebelum ini berlakunya simptom lactose intoleranceatau masalah pengambilan diet menyebabkan berlakunya cirit-birit.

“Ada sesetengah kumpulan murid yang tidak bersarapan (perut kosong) dan minum susu selepas mengambil makanan yang pedas dan berminyak, sama ada mereka ini tidak pernah didedahkan untuk minum susu atau jarang mengambilnya.

“Program ini perlu diteruskan memandangkan ia membantu pelajar untuk lebih matang dalam cara pengambilan susu yang betul,” katanya.

Pada masa depan, kata beliau, pihaknya akan menjalankan penyelidikan terhadap keberkesanan susu terhadap murid dari semasa ke semasa bagi menambah baik pelaksanaan program tersebut.

Katanya, kempen nutrisi kepada doktor muda mengenai kebaikan susu turut digerakkan dengan melantik golongan doktor muda sebagai duta kecil bagi kempen tersebut selain melaksanakan kempen interaktif dikenali ‘Cabaran Kitar Kreatif’.

2012, Arkib Berita, ICT/Teknologi, IPT, Rencana, Sistem

UM lancar E-Journal

13 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20120813/ka_02/UM-lancar-E-Journal
Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
kampus@utusan.com.my

SELARAS dengan aspirasi dalam penghasilan jurnal mengikut piawaian antarabangsa, Universiti Malaya dengan kerjasama Pusat Teknologi Maklumat baru-baru ini melancarkan Sistem Pengurusan E-Journal di Bilik Court, UM baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Hamzah Abdul Rahman berkata, sistem pengurusan E-journal yang lebih sistematik dan mengikut piawai antarabangsa itu sudah lama wujud di UM tetapi usaha untuk menggerakkannya tidak dilakukan secara bersepadu

“Kelemahannya E-journal tidak mengikut standard yang diamalkan seperti sistem pengurusan jurnal lain seperti SCORPUS dan ISI.

“Justeru sistem pengurusan yang dilancarkan ini lebih sistematik dan mengikut piawai antarabangsa yang mengikut sistem klasifikasi jurnal ScholarOne milik Thomson Reuters,” katanya.

Majlis pelancaran E-journal telah dirasmikan Naib Canselor UM, Tan Sri Dr. Ghauth Jasmon

Hamzah berkata, sistem baharu ini mampu meningkatkan penghasilan jurnal yang berkualiti dan mengalakan setiap fakulti memperbanyakkan jurnal pendidikan berkualiti.

“UM mengambil alternatif mewujudkan sistem sendiri yang boleh diakses warga kampus dan luar,” katanya.