Malaysia tempat kelima pertandingan Program Kuiz ASEAN

13 Ogos 2012, Isnin

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120813/pe_02/Malaysia-tempat-kelima-pertandingan-Program-Kuiz-ASEAN

BRANDON (Tengah), Emilia dan Nabil Ersyad (Kanan) ceria sewaktu diumumkan sebagai johan, naib johan dan tempat ketiga pada Pertandingan Akhir Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2012 yang berlangsung pada Mei lalu.

MALAYSIA memenangi tempat kelima pertandingan Program Kuiz ASEAN 2012 kali ke-5 di Phnom Penh, Kemboja baru-baru ini.

Negara diwakili tiga pelajar sekolah menengah terdiri daripada Brandon Ling Kie Chai, 17, dan rakan sekelasnya Emilia Muhd. Arif Stephen dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Sibu, Sarawak serta Nabil Ersyad Mohd. Noor Eddie Putera, pelajar tingkatan Lima Sekolah Sultan Alam Shah.

Program anjuran Jabatan Penerangan Malaysia itu turut dijayakan bersama Kementerian Pelajaran yang merupakan salah satu daripada aktiviti Jawatankuasa Budaya dan Informasi ASEAN (ASEAN-COCI) yang diadakan setiap dua tahun.

Ia bermula pada 2002, 2004, 2006 dan yang keempat pada tahun 2009, bertujuan mempromosikan ASEAN di kalangan belia di rantau ini.

Turut mengiringi tiga pelajar terlibat adalah guru pengiring Wong See Chiong dan Pegawai Jabatan Penerangan, Sharifah Anita Wafa Syed Munir Wafa.

Pelajar menjalani empat peringkat saringan sebelum ke pertandingan itu bermula Mac lalu yang turut disertai kira-kira 7,700 pelajar berusia 15 hingga 17 tahun di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Pemilihan Brandon, Emilia dan Nabil Ersyad dibuat selepas ketiga-tiga mereka muncul johan, naib johan dan tempat ketiga pada Pertandingan Akhir Kuiz ASEAN Peringkat Kebangsaan 2012 yang diadakan Mei lalu.

Pada pertandingan itu Brandon memperolehi markah tertinggi apabila menguasai pertandingan yang diadakan dalam dua segmen iaitu segmen pertama melibatkan soalan kategori sosial, alam sekitar, sains dan teknologi, politik, ekonomi dan sejarah manakala segmen kedua merupakan soalan pantas.

KPM menjadi AJK Induk Kuiz ASEAN 2012 Peringkat Kebangsaan kali ke-5.

Program itu turut meletakkan matlamat untuk mempertingkatkan tahap kefahaman dan kesedaran berkaitan ASEAN dalam aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial dalam kalangan generasi muda kini.