UniMAP rintis perpustakaan OCLC

04 September 2012, Selasa

http://www.utusan.com.my/utusan/Kampus/20120904/ka_01/UniMAP-rintis-perpustakaan-OCLC

ARAU 3 Sept. – Perpustakaan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menjadi perpustakaan pertama di Malaysia menyertai rangkaian Online Computer Library Center (OCLC) Worldcat yang membolehkan koleksi perpustakaan diakses dari seluruh dunia.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin berkata, ini kerana perpustakaan akademik sepatutnya terbuka kepada semua kelompok dan tidak terhad kepada golongan akademik semata-mata.

”Saya juga ingin mencadangkan supaya semua perpustakaan akademik di negara ini melaksanakan amalan baik OCLC,” katanya ketika berucap pada majlis Pemasyhuran Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin di Kampus Tetap Pauh Putra di sini malam tadi.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor berkenan merasmikan perpustakaan UniMAP yang mengambil sempena nama baginda.

Pada majlis itu juga, Tuanku Syed Faizuddin berkenan merasmikan Radio UniMAP fm sebagai perintis untuk universiti berkenaan mengukuhkan nama dalam bidang penyiaran di negara ini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil selaku Pro Canselor UniMAP.

Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri, Japferi Othman dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Datuk Dr. Rujhhan Mustaffa dan Duta Besar Kazakhstan ke Malaysia, Dr. Beibut Atamkulov.

Dr. Kamarudin berkata, gerbang perpustakaan akademik sepatutnya terbuka luas kepada semua kelompok masyarakat dan tidak terhad kepada golongan akademik semata-mata.

”Apa yang penting perpustakaan masa kini perlu memahami dengan mendalam mengenai aliran keperluan para pelanggan dan sentiasa bersedia untuk berubah,” katanya.

Beliau berkata, perpustakaan UniMAP kini memberi fokus kepada usaha mengumpul, menyimpan, memelihara dan menyediakan akses kepada artikel jurnal, laporan penyelidikan, objek penyelidikan, koleksi ucapan dan penerbitan warga UniMAP.