Angkasa bakal tambah peruntukan urus koperasi sekolah kepada RM13 juta

06 September 2012, Khamis

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120906/pe_02/Angkasa-bakal-tambah-peruntukan-urus-koperasi-sekolah-kepada-RM13-juta

 

KUALA LUMPUR 5 Sept. – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) bakal menambah peruntukan untuk menguruskan koperasi di sekolah-sekolah seluruh Malaysia kepada RM13 juta pada tahun depan berbanding RM9 juta tahun ini.

Presidennya, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ali Baharum berkata, peruntukan sedemikian perlu bagi memperkasakan koperasi sekolah agar tidak hanya tertumpu pada penjualan alat tulis dan buku sahaja.

Menurutnya, koperasi sekolah berkemampuan menjadi platform menanam minat generasi muda negara ini untuk berkecimpung dalam dunia perniagaan khususnya peruncitan.

“Angkasa mempunyai pasukan khas bertujuan membimbing koperasi sekolah negara ini bagi melebarkan sayap perniagaan mereka melibatkan pelbagai perniagaan lain,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Angkasa di Wisma Angkasa, Kelana Jaya dekat sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Timbalan Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah; Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin serta Pengerusi Media Prima Bhd., Datuk Johan Jaaffar.

Tambah Mohd. Ali, Angkasa turut berbangga dengan kejayaan Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan St. George (SMKPSG) Pulau Pinang yang muncul naib juara sewaktu pertandingan amalan baik koperasi institusi pendidikan negara-negara Komanwel di Mauritius, baru-baru ini.

“Kejayaan koperasi sekolah terbabit wajar dijadikan contoh kerana berjaya menimbulkan minat pelajar menceburi bidang perniagaan tanpa mengganggu waktu persekolahan.

“Pengurusan koperasi sekolah itu terbukti berkesan apabila berjaya menambahkan keuntungan tahunan mereka daripada RM6,788 pada 2005 kepada RM131,915 tahun lalu,” jelasnya.

Selain daripada menguruskan kedai buku dan alat tulis, koperasi sekolah itu turut terlibat dengan perniagaan lain antaranya kafeteria, kedai mini, kafe siber, pusat kecergasan, khidmat katering, hotel bajet dan pertanian.