Kurikulum baharu subjek Sejarah

07 September 2012, Jumaat

http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20120907/dn_10/Kurikulum-baharu-subjek-Sejarah
Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

Muhyiddin Yassin diiringi Omar Mohd. Hashim melawat Galeri Sejarah selepas merasmikannya sebelum Mesyuarat Tahunan Majlis Ke-57 Persatuan Sejarah Malaysia di Wisma Sejarah, Kuala Lumpur, semalam. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang merangka kandungan baharu kurikulum Sejarah dalam silibus sekolah menengah sebagai sebahagian daripada usaha memupuk semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pendekatan itu juga dibuat selari dengan keputusan kerajaan menjadikan subjek Sejarah sebagai matapelajaran wajib lulus bagi mendapatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun depan.

Katanya, perkara itu juga sesuai dengan keputusan kerajaan memperkenalkan Sejarah pada peringkat sekolah rendah mulai 2014.

Beliau menjelaskan, rangka kandungan kurikulum baharu Sejarah peringkat sekolah menengah itu dibuat berpandukan perakuan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

“Kita berharap dengan pelaksanaan dasar ini, rakyat Malaysia terutama generasi muda akan lebih memahami dan menghargai warisan sejarah serta budaya negara yang menjadi penentu utama pembinaan satu identiti nasional yang kukuh dan jitu,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap menyempurnakan perasmian Mesyuarat Tahunan Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Ke-57 dan perasmian Galeri Sejarah di Wisma Sejarah di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif PSM, Tan Sri Omar Mohd. Hashim, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah.

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, kerajaan juga sentiasa berusaha meningkatkan profesionalisme kualiti guru yang mengajar subjek Sejarah agar mereka dapat membina sikap, nilai, kefahaman dan kemahiran intelektual yang tinggi dalam kalangan murid.

“Zaman yang menganggap Sejarah sebagai mata pelajaran pinggiran sudah berlalu dan kita mahu ia diberi nafas baru, dimartabat, diberi perhatian serius dan diajar oleh mereka yang mempunyai kepakaran dan pengetahuan mendalam mengenainya,” tegasnya.

Sementara itu, Omar berkata, laporan serta cadangan mengenai kurikulum baharu Sejarah sekolah menengah yang disediakan PSM menekankan aspek seperti cara pengajaran dan kandungan subjek tersebut.

“Ia telah dihantar kepada Kementerian Pelajaran dua bulan lalu dan terpulang kepada pihak mereka untuk (kementerian) sama ada untuk menerima atau menolaknya,” katanya.