SK Sungai Kechil guna Twitter hubung guru, ibu bapa

06 September 2012, Khamis

http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20120906/pe_01/SK-Sungai-Kechil-guna-Twitter-hubung-guru-ibu-bapa

SEORANG murid Sekolah Kebangsaan Sungai Kechil melayari Twitter secara langsung bersama pemimpin negara pada program sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 di sekolah itu di Nibong Tebal, Pulau Pinang, semalam.

NIBONG TEBAL 5 Sept. – Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kechil di sini mungkin menjadi sekolah luar bandar pertama di negara ini menggunakan Twitter sebagai medium pengantara dengan ibu bapa dan masyarakat.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Mohd. Foad Mat Isa berkata, melalui penggunaan laman sembang sosial itu, setiap program, aktiviti atau hebahan berkaitan sekolah kepada guru atau ibu bapa akan dibuat secara tweet.

Menurutnya, penggunaan Twitter oleh pihak sekolah berkenaan amat digalakkan kerana ia boleh menjimatkan kos, selain mempercepatkan proses pemberitahuan sesuatu maklumat atau hebahan.

“Selepas ini, semua maklumat yang hendak disampaikan termasuk mesyuarat guru akan dimaklumkan secara tweet.

“Penggunaan Twitter akan menjimatkan kos dan mempercepatkan proses penghantaran maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan tweet secara langsung sekolah berkenaan dengan pengguna Twitter pada program sambutan Bulan Kemerdekaan Ke-55 di sekolah itu, hari ini.

Hadir sama Guru Besar SK Sungai Kechil, Abdul Halim Aris.

Dalam tempoh dua jam dilancarkan, akaun Twitter sekolah tersebut telah dilayari oleh 160 pengikut termasuk Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Zainal Abidin Osman.

Mohd. Foad memberitahu, beliau mencadangkan kepada pihak SK Sungai Kechil supaya membuat halaman khas di dalam Twitter bagi membolehkan bekas murid-muridnya mengetahui mengenai kemajuan sekolah dari semasa ke semasa.

“Dengan cara ini, bekas murid yang telah berjaya boleh dijadikan ikon sekolah.

“Mereka yang terpilih ini mungkin boleh kembali ke sekolah untuk memberi kata-kata semangat atau dorongan kepada murid sedia ada,” katanya.