Pelajar lelaki suspek kes cabul ditahan

Arau: Polis sudah menahan seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di sini untuk siasatan selepas didakwa mencabul pelajar perempuan sekolah sama sebelum mencederakan mangsa dalam kejadian awal minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain, ketika mengesahkan kejadian itu, berkata mangsa berusia 16 tahun membuat laporan polis Isnin minggu lalu di Balai Polis Arau, di sini.

Polis sudah menahan suspek berusia 16 tahun sehari selepas kejadian untuk siasatan dan merakam keterangan mangsa serta mencari senjata tumpul yang digunakan suspek ketika kejadian.

Sengaja cederakan mangsa

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan dan Seksyen 354 akta sama kerana mencabul kehormatan, katanya di sini, semalam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi pada 3 September lalu, suspek yang ditemani seorang rakannya dikatakan menemui mangsa di dewan sekolah sebelum bertindak meramas buah dada pelajar perempuan itu.

Mangsa yang terkejut kemudian menendang suspek untuk melepaskan diri, tetapi dia diserang dan dipukul dengan kayu dipercayai kaki meja oleh suspek. Mangsa yang cedera berjaya melarikan diri dan memaklumkan perkara itu kepada guru, katanya.