Dilema guru Sekolah Menengah Agama negeri Terengganu

27 September 2012, Khamis
http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20120927/fo_02/Dilema-guru-Sekolah-Menengah-Agama-negeri-Terengganu

GURU DILEMA
Terengganu
BERMULA November 2007, guru-guru Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu (SMAN Terengganu) telah menerima tawaran pertukaran pelantikan menyertai Kementerian Pelajaran melalui opsyen, hasil daripada memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dan Kementerian Pelajaran melalui program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Hampir 98 peratus guru SMAN Terengganu menerima tawaran tersebut dengan perasaan yang berbeza-beza. Ada yang menerimanya dengan senang hati kerana ingin bernaung di bawah payung yang lebih besar, yang memungkinkan peluang kenaikan pangkat lebih luas.

Ada yang seperti “pucuk dicita, ulam mendatang”, iaitu Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang ditawarkan jawatan tetap.

Sementara satu kumpulan yang lain ialah kumpulan yang mempunyai perasaan yang berbelah-bahagi iaitu sebilangan besar guru tetap yang telah lama berkhidmat di bawah kerajaan negeri.

Mahu tidak mahu mereka turut menerima tawaran pertukaran pelantikan tersebut ekoran daripada kata-kata seorang ‘pegawai’ dari pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu yang kononnya pihak kerajaan negeri tidak berminat lagi untuk menguruskan hal ehwal SMAN.

Sekarang sudah hampir tiga tahun kami berada di bawah pentadbiran Bahagian Pendidikan Islam (BPI), Kementerian Pelajaran Malaysia. Harapan kami yang menggunung tinggi sebelum ini beransur-ansur menjadi landai.

Ini kerana perkara-perkara yang dijanjikan semasa pertemuan dengan pegawai dari Kementerian Pelajaran lima tahun lalu masih belum jadi kenyataan.

Kalau sebelum ini kami diberi jaminan tidak akan ditukarkan tanpa persetujuan, semuanya kini hanya janji kosong.

Pada 2010, berlaku pertukaran besar-besaran melibatkan guru tetap yang telah lama berkhidmat.

Lebih malang, ramai yang diarahkan bertukar keluar daerah yang jaraknya melebihi 50 kilometer. Alasannya sekolah berkenaan terlebih guru, sedangkan pada masa sama pihak kementerian telah membawa masuk guru-guru mereka ke Sekolah Menengah Agama tersebut. Ini tidak akan berlaku sekiranya kami masih berada di bawah pentadbiran kerajaan negeri (hanya berlaku jika ada kesalahan tatatertib).

Selain itu, soal pelarasan gaji dan kenaikan pangkat yang dijanjikan pun masih belum dapat diselesaikan oleh pihak BPI. Pihak Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah pula mula mencari peluang untuk menggunakan kemudahan-kemudahan yang terdapat di SMAN.

Sekolah-sekolah menengah agama negeri sekarang ini bagaikan sebuah kapal yang mempunyai dua nakhoda. Pihak sekolah terpaksa mengikut program yang dianjurkan oleh kedua-dua pihak.

Sebagai contoh, kami mempunyai/menyertai program sukan Sekolah Agama Negeri (MASMAT), dan pada masa yang sama kami juga diminta menyertai sukan anjuran Jabatan Pelajaran Negeri (MSSMT). Ini memberi beban kepada pelajar dan guru yang terlibat kerana terpaksa menghabiskan masa untuk menyertai dua acara sukan yang sepatutnya boleh dijadikan satu.

Sesetengah pengetua pula dilihat lebih bersifat menjaga ‘tengkuk’ sendiri apabila hanya memperjuangkan kedudukan serta pangkat mereka apabila berurusan dengan pihak BPI. Bagaimanakah dengan kedudukan dan kenaikan pangkat guru-guru SMAN Terengganu yang masih tidak berkesudahan ini?

Sehubungan itu diharap pihak yang bertanggungjawab agar dapat memberi perhatian yang serius terhadap dilema para guru SMAN Terengganu demi memartabatkan kecemerlangan pendidikan di sekolah menengah agama negeri Terengganu ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s