Bengkel Membaca Tambahan

 

ARKIB : 11/10/2012

Oleh FARHANA JONI

utusansarawak@utusan.com.my

SEBAHAGIAN peserta Bengkel Membaca Tambahan melibatkan guru dan murid-murid bersama Natalie Hommerton (duduk tengah) di Kuching, Sarawak, baru-baru ini. – UTUSAN/ AMIR HAFIZ ABD

KUCHING 10 Okt. – Peranan sektor swasta dalam membantu pelajar di kawasan luar bandar khususnya di pedalaman negeri ini banyak membantu usaha memperkasakan sektor pendidikan negara.

Malah, bukannya perkara baharu jika pelajar dari kawasan berkenaan sering menerima bantuan syarikat- syarikat korporat tempatan mahupun antarabangsa.

Antara bantuan yang biasa disalurkan adalah kelengkapan sekolah seperti kasut, buku dan alat tulis, malah mereka turut diberi peluang mengikuti kem motivasi, kursus dan bengkel yang berkaitan dengan pembelajaran.

Terbaru adalah Bengkel Membaca Tambahan bertujuan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris yang dijayakan oleh Kementerian Pelajaran, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd., Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) dan Osaka Gas Foundation for International Cultural Exchange (OGFICE).

Pengurus Besar Operasi dan Kewangan (UP&D), Rozita Yusoff berkata, penglibatan pihaknya bertujuan menyahut cabaran kerajaan untuk sama-sama menggembleng tenaga bagi melahirkan lebih ramai golongan berpendidikan dan cerdik pandai dalam kalangan rakyat negeri ini.

“UP&D bertanggungjawab menjemput ahli panel dari dalam dan luar negara untuk memberi taklimat kepada murid-murid yang terlibat dalam bengkel ini.

“Menariknya, bengkel ini turut melibatkan guru-guru sekolah bagi membantu mereka mendapat idea untuk mengajar Bahasa Inggeris dengan kaedah yang lebih menarik,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Bengkel Membaca Tambahan itu berlangsung selama empat hari bermula 24 September lalu dengan penglibatan seramai 30 murid dari 10 buah sekolah.

Antara sekolah yang terlibat dalam bengkel itu adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Annau, SK Ulu Kukus, SK Manga Tau, SK St. Gregory Giam, SK Sibu Laut, SK Kuala Kebulu, SK Bukit Mawang, SK Pasir Pandak, SK Tanjung Apong dan SK Kampung Baru.

Mengulas lanjut, Rozita memberitahu, pada tahun ini, UP&D berbangga kerana telah membawa seorang guru berpengalaman dari United Kingdom (UK), Natalie Hommerton bagi menunjukkan kaedah pembelajaran dan pengajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, guru berkenaan mengendalikan bengkel dengan menggunakan beberapa buah buku cerita bahasa Inggeris.

Katanya, buku cerita tersebut adalah bahan bacaan ringan yang digunakan oleh golongan kanak-kanak dan murid-murid di peringkat tadika dan sekolah rendah di London.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pelajaran, Noor Salwara Khairullah berkata, bengkel tersebut merupakan inisiatif kementerian dan badan korporat dalam menggalakkan minat pelajar untuk hadir ke sekolah dan menguasai bahasa.

Katanya, ia juga secara tidak langsung memberi ruang dan peluang kepada golongan guru terlibat untuk berbincang dan bertukar-tukar idea tentang kaedah pembelajaran di sekolah masing-masing.

“Bengkel ini telah dianjurkan sejak 2004 melibatkan sebanyak 40 sekolah di kawasan luar bandar dan pinggir bandar di Sarawak.

“Pihak kementerian memperoleh dana pendidikan daripada OGFICE sebanyak RM67,000 bagi melaksanakan bengkel ini sejak sembilan tahun lalu,” katanya.

Katanya, menjadi hasrat kementerian untuk sentiasa berusaha meningkatkan kesedaran betapa pentingnya pendidikan dan impaknya dalam mengubah masa depan, terutama bagi pelajar yang masih ketinggalan.

Bagaimanapun, katanya tahun ini merupakan tahun terakhir pelaksanaan bengkel tersebut dan beliau berharap syarikat-syarikat antarabangsa dan tempatan lain dapat bekerjasama dengan kementerian bagi misi seterusnya.

“Usaha memperkasakan sektor pendidikan bukanlah terletak di bahu kerajaan sahaja malah perkara itu adalah tanggungjawab semua pihak lebih- lebih lagi rakyat di negara ini,” katanya.

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121011/wb_01/Bengkel-Membaca-Tambahan#ixzz29hyevXo9

© Utusan Melayu (M) Bhd