Lonjakkan pendidikan di Sarawak

23 Oktober 2012, Selasa

Oleh ZAAIN ZIN
zaain.zin@utusan.com.my

Seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Samarahan mengemukakan pandangan pada majlis penutupan Forum Mengenai Laporan Awal Pelan Pembangunan Malaysia di Kuching, semalam.

KUCHING 22 Okt. – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013- 2025 yang akan dilaksanakan tahun depan mampu membantu melonjakkan mutu pendidikan di negeri ini supaya setaraf dengan negeri-negeri lain terutama di Semenanjung.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah berkata, berbanding negeri-negeri di Semenanjung, bidang pendidikan di Sarawak diakui agak ketinggalan dalam beberapa aspek.

Katanya, antara aspek itu adalah akses kepada pendidikan yang lebih meluas serta infrastruktur yang lebih canggih dan lengkap.

“Sehubungan itu, semua pihak termasuk ibu bapa, golongan pendidik, pertubuhan dan agensi swasta perlu memanfaatkan peluang yang ada dengan menyumbang input bernas sepanjang laporan awal pelan ini dibentangkan.

“Laporan awal pelan ini akan dibuka untuk mana-mana pihak mengemukakan idea atau pandangan bagi tujuan penambahbaikan sebelum dimuktamadkan menjelang hujung tahun ini,” katanya.

Beliau berucap menyempurnakan majlis penutupan Forum Mengenai Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 anjuran Institut Pengurusan Sarawak (Masa) di Pustaka Negeri, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Unit Pembangunan Tenaga Kerja Jabatan Ketua Menteri, Dr. Abdul Rahman Deen; Presiden Persatuan India Sarawak, Piara Singh Gill serta Timbalan Presiden Masa, Datuk Dr. Hatta Solhi.

Fatimah memberitahu, kerajaan menghargai pandangan semua pihak di peringkat akar umbi terutama warga pendidik biasa memandangkan golongan itu akan berdepan secara langsung dengan setiap pelaksanaan dasar.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, pihaknya akan memastikan pelan tersebut turut memberi tumpuan dalam meningkatkan akses dan kualiti pendidikan khas bagi membolehkan golongan istimewa di negeri ini memperoleh peluang pendidikan seperti kanak-kanak normal.