Meningkatkan kesedaran kepentingan minum susu

ARKIB : 29 Oktober 2012, Isnin

BAGI meningkatkan kesedaran di kalangan murid mengenai kepentingan pengambilan susu untuk tumbesaran kesihatan, syarikat pengeluar produk tenusu terkemuka, Dutch Lady Milk Industries Berhad (Dutch Lady Malaysia) komited menggerakkan program pendidikan susu khusus buat golongan tersebut dari semasa ke semasa.

Menurut Pengurus Hal Ehwal Dutch Lady Malaysia, Mohd. Afizi Mohd. Ross, usaha itu bertujuan menyebarkan khasiat kebaikan susu dan mengajar murid mengenai cara-cara pengambilan susu yang betul.

”Kami mengambil kesempatan mengunjungi 24 buah sekolah rendah di negeri Pulau Pinang, Selangor dan Melaka untuk berinteraksi dengan 19,000 kanak-kanak sekolah rendah, serta guru-guru mereka tentang khasiat kebaikan susu.

“Program ini merupakan sebahagian komponen pendidikan asas bagi ‘Program Susu Sekolah 1Malaysia’ (PS1M) yang telah dijalankan di seluruh negara”, katanya.

Melalui kempen itu, katanya, murid dan guru diberikan pelbagai informasi dan maklumat kesihatan yang diperlukan oleh badan, tulang serta perkembangan otak.

Di samping itu, program interaktif kepentingan pelbagai khasiat susu serta cara pengambilan susu yang betul turut dianjurkan.

“Kita amat menekankan tentang kepentingan mengambil sarapan pagi dan elakkan meminum susu dengan perut yang kosong.

“Pada masa yang sama, kita menerangkan tentang apa itu ‘intoleransi laktosa’ dan menekankan aspek kebersihan diri khususnya membasuh tangan sebelum minum susu.

“Kami juga menasihati murid agar segera menghabiskan susu yang telah dibuka dan menerangkan maklumat mengenal pasti pek susu yang elok untuk diminum,” jelasnya.

Pada tahun ini, PS1M melibatkan lebih 1.4 juta murid dari 7,600 buah sekolah rendah di seluruh negara dengan edaran sebanyak 90.16 juta pek susu sekolah 1Malaysia berperisa coklat.

Terdapat empat pembekal susu sekolah 1 Malaysia yang terlibat dalam program PS1M meliputi negeri-negeri Wilayah Persekutuan, Putrajaya, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka.

Pasukan PS1M, pakar pemakanan dan pasukan sukarelawan ‘Blue Brigade’ daripada Dutch Lady Malaysia telah memulakan lawatan ke sembilan sekolah mambabitkan lebih 7,000 orang murid di Pulau Pinang dan Seberang Prai.

Sebelum tamat sesi persekolahan bagi tahun ini, pasukan dari Dutch Lady Malaysia akan turun ke 15 buah sekolah lagi di Selangor dan Melaka dengan penglibatan seramai 11,000 orang pelajar.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121029/pe_02/Meningkatkan-kesedaran-kepentingan-minum-susu#ixzz2AkVAwufJ
© Utusan Melayu (M) Bhd