PBS: Tingkatan 4 berpeluang ke SBP

1 November 2012, Khamis

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Kementerian Pelajaran memberi jaminan pelajar- pelajar tingkatan empat di bawah sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) berpeluang melanjutkan pelajaran ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) asalkan menepati setiap standard yang ditetapkan di bawah sistem tersebut.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, meskipun para pelajar tidak lagi mengambil Penilaian Menengah Rendah (PMR) tetapi mereka tetap tertakluk kepada penilaian empat komponen PBS dalam menentukan sama ada layak atau tidak untuk ke SBP.

Beliau berkata, empat komponen PBS itu adalah pentaksiran sekolah; pentaksiran pusat; pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum serta pentaksiran psikometrik.

“Walaupun di peringkat ini (menengah rendah) 100 peratus PBS ditaksirkan oleh guru, itu bukan bermakna kita tidak boleh memilih pelajar untuk ke tingkatan empat SBP.

”Lembaga Peperiksaan sentiasa memastikan soalan-soalan peperiksaan yang diberikan kepada para pelajar menepati piawaian ditetapkan. Selain itu, mereka terpaksa melalui empat komponen PBS yang telah saya sebutkan tadi,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Lilah Yasin (BN-Jempol) dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mujahid Yusof Rawa (Pas- Parit Buntar), Ka Siong berkata, pihak kementerian kini dalam proses memantapkan lagi PBS bagi memastikan sistem itu berjalan lancar sebaik sahaja dilaksanakan kelak.

“Saya akui guru-guru akan merasa sedikit terbeban dengan PBS, namun saya yakin apabila sistem menjadi semakin mantap segala isu dan masalah tidak lagi berbangkit. Tambahan pula kementerian ada menyediakan dua aplikasi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memudahkan para guru melaksanakan PBS,” katanya.