Tingkatkan kualiti pengajaran – TPM

1 November 2012, Khamis

Muhyiddin Yassin bersama kanak-kanak Tadika Peter & Jane selepas merasmikan Minggu Kebangsaan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama Dr. Chiam Heng Keng (lima dari kiri) dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud (kanan). – BERNAMA

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyarankan guru prasekolah Kemas dan Jabatan Perpaduan Nasional dan Integriti Negara (JPNIN) supaya mengikuti program diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak bagi meningkatkan standard dan kualiti pengajaran di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, saranan itu bagi membolehkan guru mempunyai pengetahuan dan kecekapan dalam bidang yang diceburi, seperti mana syarat yang ditetapkan Kementerian Pelajaran kepada guru prasekolah yang perlu mempunyai ijazah dalam jurusan pendidikan awal kanak-kanak.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, untuk itu, kerajaan telah mengambil beberapa langkah antaranya membenarkan mereka membuat pinjaman dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

”Dengan ini, adalah diharapkan bahawa guru prasekolah Kemas dan JPNIN juga akan mencapai taraf seperti guru prasekolah dalam masa terdekat bagi memastikan standard dan kualiti guru adalah setara merentasi semua pusat asuhan dan prasekolah.

”Dalam hal ini, saya menyarankan para guru mengikuti sekurang-kurangnya diploma dalam pendidikan kanak-kanak di mana kerajaan juga sentiasa mengkaji bagaimana dapat membantu merealisasikan aspirasi itu,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Kebangsaan Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (ECCE) di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Majlis ECCE, Datuk Dr Chiam Heng Keng.

Menurut beliau, bagi meningkatkan lagi kualiti asuhan dan pendidikan awal kanak-kanak, Kementerian Pelajaran dan Majlis ECCE sedang membangunkan standard kualiti untuk taska dan prasekolah.

”Program pentaksiran kendiri itu bertujuan membantu pusat berkenaan mencapai tahap kualiti yang dikehendaki dalam memastikan minda kanak-kanak berkembang dan mencapai perkembangan holistik,” katanya.

Beliau berkata, penaksiran itu bukan bertujuan ‘menghukum’ mana-mana taska atau prasekolah, sebaliknya untuk membantu mengenal pasti aspek yang perlu dibaiki dan jurang perkhidmatan yang perlu dirapatkan.

Bagi meningkatkan kualiti guru prasekolah swasta yang dianggarkan hanya tiga peratus yang memiliki diploma atau ijazah dalam pendidikan awal kanak-kanak sekarang, Timbalan Perdana Menteri berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran telah mengambil inisiatif menyediakan kursus selama tiga minggu, secara percuma, bagi semua guru prasekolah daripada sektor swasta.

”Menjelang akhir tahun ini, Kemeterian Pelajaran menganggarkan seramai 20,000 guru prasekolah akan dilatih melalui kursus ini,” katanya. – BERNAMA