Insentif untuk pelajar aliran sains – Muhyiddin

7 November 2012, Rabu

KUALA LUMPUR 6 Nov. – Kementerian Pelajaran sedang menimbang untuk menawarkan insentif termasuk biasiswa kecil kepada para pelajar yang mengambil aliran sains di peringkat sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendekatan itu dibuat berikutan jumlah pelajar yang mengambil aliran sains semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Katanya, pelajar yang mengambil aliran sains juga dipertimbangkan untuk diberi buku percuma dan ibu bapa kepada pelajar berkenaan pula bakal menikmati pengecualian cukai.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, jumlah pelajar aliran sains pada masa sekarang kurang 20 peratus sedangkan dasar kerajaan adalah untuk mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus pelajar aliran sains dan 40 peratus aliran sastera.

“Semalam saya menerima laporan daripada jawatankuasa yang terdiri daripada pakar universiti dan akademik seluruh negara yang mendapati bilangan pelajar mengambil aliran itu menurun.

“Daripada kajian itu, didapati para pelajar berminat dalam mata pelajaran sains. Masalahnya mereka ini kurang mendapat dorongan daripada ibu bapa, selain kekurangan kemudahan yang sepatutnya di sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat seramai 483 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Kosas di sini hari ini.

Sebagai permulaan menurut beliau, satu jawatankuasa kumpulan pemantau akan ditubuhkan bagi membantu Kementerian Pelajaran menangani kemerosotan pengambilan aliran sains oleh para pelajar tingkatan empat dan lima.

Jelas Muhyiddin, kerajaan akan memperkenalkan pelan tindakan tersebut bagi menambah bilangan pelajar yang mengambil aliran sains sebanyak 10 peratus lagi pada tahun 2014.

“Aliran sains sangat penting kerana negara sedang pesat membangun dan memerlukan pakar dalam bidang kejuruteraan, teknologi, doktor dan sebagainya.

“Kalau di peringkat sekolah jumlah pelajar aliran sains merosot, bilangan itu akan memberi impak semasa di peringkat universiti,” tambahnya.

Selain itu, katanya, kurikulum bagi aliran sains juga akan ditambah baik termasuk menyediakan kemudahan makmal yang mencukupi bagi menjalani latihan amali di sekolah.

“Kita akan menyediakan latihan kepada guru untuk meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran di samping mewujudkan pembantu makmal untuk menjaga bahan yang digunakan,” katanya.