Pastikan Susu 1Malaysia sampai ke pedalaman

6 November 2012, Selasa

Mohd. Afizi Mohd. Ross (berdiri tengah) bersama Penyelia Hal Ehwal Murid Pejabat Pendidikan Daerah Klang, Mohd. Tukipon Zahlan (kiri) dan Guru Besar SJK (C) Keng Chee Pulau Ketam, Soh Swee Koon (kanan) bersama murid-murid sekolah tersebut menunjukkan susu Dutch Lady dalam lawatan pengagihan ke sekolah Program Susu 1Malaysia di SJK (C) Keng Chee Pulau Ketam, Klang, Selangor, semalam.

PELABUHAN KLANG 5 Nov. – Jarak dan kepayahan untuk berinteraksi dengan dunia luar bukan alasan untuk menghalang masyarakat daripada menerima setiap bantuan daripada kerajaan.

Perkara tersebut termasuk usaha kerajaan untuk memastikan pelaksanaan penghantaran bekalan Program Susu 1Malaysia (PS1M) ke sekolah-sekolah di kawasan luar bandar dan juga ke kawasan pulau dilakukan dengan sebaik mungkin.

Ini terbukti apabila pengamal media dibawa ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Keng Chee di Pulau Ketam di sini untuk melihat sendiri bagaimana bantuan tersebut diagihkan kepada murid-murid di pulau tersebut.

Meskipun perjalanan kira-kira 45 minit dari jeti Pulau Ketam ke sekolah berkenaan tidak dianggap mengambil masa yang lama, usaha para petugas untuk menghantar bekalan susu tersebut tetap berhadapan risiko kerana pelbagai kemungkinan boleh berlaku ketika meredah lautan.

Pengurus Hal Ehwal Korporat Dutch Lady Malaysia, Mohd. Afizi Mohd. Ross berkata, pihaknya berusaha sedaya upaya untuk menghantar stok PS1M ke setiap sekolah termasuk sekolah di luar bandar seperti SJKC Keng Chee.

Beliau berkata, jarak dan masa bukan penghalang kepada Dutch Lady Malaysia yang kini merupakan salah satu daripada empat pembekal utama PS1M di seluruh negara.

“Tiada masalah bagi kami untuk memastikan bekalan sentiasa mencukupi, melalui PS1M murid-murid dibekalkan dua kotak susu dalam tempoh seminggu sepanjang musim persekolahan.

“Di bawah program ini, kami telah mengedarkan kira-kira 12.5 juta kotak susu kepada 1,400 buah sekolah membabitkan 297,000 orang murid di kawasan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bekalan PS1M ke SJKC Keng Chee di sini hari ini.

Selain menghantar bekalan PS1M, Dutch Lady Malaysia turut menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan mengadakan ceramah pendidikan nutrisi pemakanan kepada 106 murid di sekolah berkenaan.

Menurut Mohd. Afizi, antara tujuan utama pelaksanaan PS1M adalah untuk melahirkan generasi baru yang lebih kuat, tegap dan cergas.

Katanya, bekalan susu ke setiap sekolah terutamanya melibatkan produk keluaran Dutch Lady Malaysia yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu dijamin selamat oleh kerajaan dan terbukti tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan murid-murid.