Pelajar belum biasa sistem modular

6 November 2012, Selasa

KUALA LUMPUR 5 Nov. – Pelajar tingkatan enam yang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerusi sistem modular dilihat memerlukan lebih masa untuk membiasakan diri dengan sistem baharu itu.

Tinjauan Utusan Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St. John mendapati, rata-rata pelajar mengakui sistem itu menyebabkan mereka perlu menukar cara belajar dan berusaha lebih gigih menghabiskan sukatan pelajaran mengikut penggal persekolahan.

Menurut Guru Pengajian Am SMK St. John, Mohd. Latun Nordin, penyebab pelajar sukar membiasakan diri dengan sistem baharu itu antaranya kerana masih terikut- ikut dengan sistem terminal sebelum ini.

“Mereka yang masih biasa dengan sistem terminal lebih cenderung belajar pada saat-saat akhir, jadi mereka tidak akan sempat menguasai sukatan pelajaran sebelum peperiksaan pada hujung setiap penggal.

“Jika mereka tidak ubah cara belajar mengikut keperluan sistem modular, saya percaya mereka akan menghadapi kesukaran untuk cemerlang dalam STPM,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Di bawah sistem modular yang dilaksanakan bagi sesi 2012/2013 itu, pelajar tingkatan enam akan menjalani pengajian tiga penggal untuk mengumpul mata sebelum diterima melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mengikut sistem merit.

Sebanyak 67,202 calon terlibat dalam peperiksaan STPM di 771 pusat peperiksaan di seluruh negara bermula hari ini sehingga Khamis ini dengan menggunakan sistem baharu itu.

Bagi calon STPM, Mohammad Yusri Azis, 19, walaupun masih belum dapat membiasakan diri dengan sistem berkenaan namun usaha kerajaan itu masih dianggap baik.

“Sistem ini bagus, memudahkan pelajar untuk belajar secara sistematik dan tidak membebankan pelajar dengan hanya perlu fokus terhadap sukatan pelajaran yang dibahagikan kepada tiga penggal,” katanya.

Pelajar Tingkatan Enam Kemanusiaan Dua Program Pendidikan Khas Integrasi ini turut mencadangkan agar masa tambahan diberikan kepada pelajar pendidikan khas memandangkan mereka memerlukan kemudahan lain bagi menjawab soalan peperiksaan.

Rakannya, Lim Teck Zhao, 18, yang bersetuju dengan pendapat Mohammad Yusri berkata, lanjutan tempoh menjawab soalan bagi pelajar pendidikan khas dapat memudahkan mereka menjawab soalan peperiksaan berdasarkan sukatan pelajaran yang agak padat terutamanya pada penggal pertama persekolahan.

“Kami menjawab dalam format berbeza, saya rasa tidak salah sekiranya pihak kementerian dapat membuat pertimbangan bagi membantu pelajar seperti kami,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s