UNIMAS menang 16 anugerah reka cipta

7 November 2012, Rabu

KUCHING 6 Nov. – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sekali lagi mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa apabila meraih 11 pingat emas dan lima anugerah khas pada Pameran Reka Cipta Britain (BIS) 2012.

Dalam kenyataan di sini hari ini, UNIMAS berkata, kejayaan ini memberi perangsang dan motivasi kepada para penyelidiknya untuk terus maju dalam bidang penyelidikan.

“UNIMAS berharap hasil reka cipta ini akan membuka ruang kepada kemungkinan ia dikomersialkan untuk menjana pendapatan bagi universiti ini dan meletakkan UNIMAS pada kedudukan lebih tinggi dalam kalangan institusi pengajian tinggi di Malaysia,” kata kenyataan itu.

BIS 2011 yang berlangsung di London dari 24 hingga 27 Oktober lalu, dianjurkan British Inventors Society (BIS) dan mempamerkan hasil ciptaan pereka cipta, pencipta pembaharuan, ahli akademik, institusi penyelidikan dan usahawan terkemuka dari seluruh dunia.

Delegasi UNIMAS ke BIS 2012, yang diketuai naib canselor Prof. Datuk Dr. Khairuddin Ab. Hamid, mempamerkan 11 ciptaan dan meraih lima anugerah khas, dengan satu daripadanya yang bertajuk Wearable Sleeping Bag, ciptaan kumpulan diketuai Norhayati Suleiman, memenangi satu Diamond Award, satu Double Gold dan Romania Diploma Certificate Award.

Dua lagi Double Gold Award dimenangi projek yang diketuai Dr. Edmund Ng Giap Weng dan Prof. Madya Dr. Nazlina Shaari melalui penyelidikan bertajuk Mobile ARUT Android Browser Version 1.0 dan Eco-Modarnt:Utilizing Sago Effluent for Natural Dye Process.

UNIMAS juga memenangi pingat emas melalui projek yang dihasilkan Prof. Dr. Khairul Aidil Azlin Abdul Rahman bertajuk Bio Bamboo Car Accessories and i-Bamboo Veneer; projek Prof. Madya Dr. Nazlina Shaari (Eco-Modarnt:Utiling Sago Effluent for Natural Dye Process) dan projek Prof. Madya Dr. Zainab Ngaini (Fire Resist Sound Absorbing Sago Panel and Silcat:Biocatalyst for Biodiesel).

Pingat emas lain dimenangi melalui projek Dr. Edmund Ng Giap Weng (Mobile Augmented Reality Solat System and Mobile ARUT Android Browser Version 1.0); projek Prof. Madya Dr. Lo May Chiun (TourScape: An Integrated Systematic Approach to Manage Tourism Destinations); projek Dr. Azham Zulkharnain (Just add Water-Chemical Assay Kit); projek Norhayati Suleiman (Wearable Sleeping Bag) dan projek Mohd. Razali Othman (ENAICMS-Counselling Management System). – BERNAMA