Guru cemerlang tanpa temu duga

8 November 2012, Khamis

Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL
utusanN9@utusan.com.my

Muhyiddin Yasin beramah mesra dengan peserta ketika hadir merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di Seremban, semalam. – UTUSAN/MD. SHAHJEHAN MAAMIN

SEREMBAN 7 Nov. – Tan Sri Muhyiddin Yasin berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) bersetuju melantik secara terus calon guru yang berprestasi cemerlang pada tahap akademik dan ikhtisas selepas mereka menamatkan pengajian, tanpa proses temu duga mulai tahun depan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, SPP juga bersetuju melantik terus tanpa temu duga guru cemerlang, guru besar cemerlang dan pentadbir cemerlang yang memperoleh ijazah sama ada separuh masa atau di bawah Program Pengajian Jarak Jauh (PJJ) ke Gred DG41.

”Kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan guru bermula dari proses pelantikan sehinggalah persaraannya.

”Sebab itu pada 13 Oktober lalu di Johor, saya telah umumkan calon guru yang bakal dipilih adalah 30 peratus dalam kalangan mereka yang berkeputusan 9A dan berminat dengan perguruan, akan diserap sebagai guru pelatih mulai tahun depan,” katanya.

Muhyidin berucap merasmikan Persidangan Perkhidmatan Pendidikan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi SPP, Tan Sri Dr. Zulkurnain Awang dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran menegaskan, dalam konteks itu juga, semakan semula sistem pelajaran dan institusi perguruan serta institusi pengajian tinggi (IPT) adalah perlu untuk melahirkan warga pendidik yang berkualiti dan terbaik.

Mengenai lantikan terus guru, guru besar dan pentadbir cemerlang tanpa temu duga, katanya, langkah itu bertujuan menyokong usaha Kementerian Pelajaran meningkatkan latihan dalam perkhidmatan perguruan.

”Dengan itu guru yang terlibat boleh membuat permohonan terus kepada SPP untuk dikecualikan daripada proses temu duga. Ini juga akan dilaksanakan pada tahun hadapan,” ujar Muhyiddin.

Dalam ucapan itu juga, beliau berkata, kerajaan akan memastikan guru memberi fokus kepada fungsi teras pembelajaran dan pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran mulai tahun hadapan.

”Menjelang 2016, laluan guru untuk berperanan sebagai pemimpin, pakar pengajaran dan pakar bidang akan dipertingkatkan, manakala mulai tahun 2025, proses pensijilan dan pembudayaan kecemerlangan berasaskan pimpinan rakan sekerja akan dibentuk,” tegas beliau.