Ramai pengguna punca capaian SPPBS terganggu

8 November 2012, Khamis

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Capaian Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) sering tergendala dan sukar diakses oleh guru adalah disebabkan bilangan pengguna mencecah 40,000 orang dalam satu-satu masa.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian itu telah mengambil langkah interim dengan menyediakan hosting khas secara berasingan bagi PBS dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM).

“Proses migrasi hosting’ bagi sistem terbabit sudah selesai dilaksanakan pada akhir September lalu dan pada masa ini, ia stabil dan boleh diakses.

“Kita mengambi maklum mengenai kesulitan yang dihadapi guru dalam mengakses sistem PBS. Malah, kita turut mendapat maklum kesukaran itu berpunca daripada sikap segelintir guru yang lebih gemar melaksanakan tugas pada saat akhir khususnya ketika tiba musim cuti sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (PASBukit Gantang) tentang pengenalan sistem PBS di sekolah serta masalah keberkesanan dalam pelaksanaanya termasuk sukar diakses dan lambat.

Mengulas soalan sama, Mohd. Puad menjelaskan, sebanyak 2,501 buah sekolah di seluruh negara juga sudah dilengkapi peralatan Customer Premis Equipment (CPE) dibawah Projek 1BestariNet bagi mempertingkatkan capaian akses internet di sekolah.

“Kemudahan jalur lebar yang disediakan menerusi projek 1BestariNet adalah berasaskan teknologi 4G dengan kelajuan minimum 4 Megabait sesaat (Mbps) sehingga kelajuan maksimum iaitu 20Mbps.

“PBS ini adalah usaha kerajaan dalam membangunkan modal insan berilmu pengetahuan, mempunyai kemahiran serta menghayati nilai murni agar dapat menjadi kompetetif dan relevan dalam era globalisasi ini,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau memberitahu, pihaknya belum bercadang untuk menyediakan elaun khas kepada guru-guru dalam melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).