Syor guru sains diberi insentif khas

Kuala Lumpur: Kerajaan dicadang memberi insentif khas kepada guru yang mengajar subjek aliran sains bagi membolehkan mereka menerokai kaedah pengajaran baru, sekali gus menarik lebih ramai pelajar dalam bidang itu.Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohd Ali Hassan turut mencadangkan kerajaan menghantar tenaga pengajar terbabit mengikuti latihan amali ketika cuti sekolah.

“Kebanyakan pelajar kurang berminat mengikuti aliran sains berikutan kaedah pembelajaran yang agak membosankan kerana banyak menumpukan teori tanpa amali.

“Justeru, kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu berubah seiring peredaran masa bagi memastikan sasaran meningkatkan pelajar sains kepada 60 peratus dapat dicapai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata kerajaan menimbang memberi potongan cukai kepada ibu bapa sebagai insentif mendorong anak mereka belajar dalam aliran sains.