Sasaran pendidikan tinggi negara

12 November 2012, Isnin

MUHYIDDIN Yassin beramah mesra dengan sebahagian pelajar Malaysia selepas majlis dialog dan jamuan petang bersama mereka dan profesional rakyat Malaysia di Melbourne, semalam.

MELBOURNE 11 Nov. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap lebih banyak universiti di Malaysia mampu berada dalam kelompok 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh lima tahun lagi.

Beliau berkata, sistem pendidikan tinggi negara bergerak pada landasan yang betul dengan Kementerian Pengajian Tinggi memberi lebih banyak ruang dan kebebasan kepada universiti-universiti terlibat bergerak bagi mencapai sasaran tersebut.

“Tidak betul kalau ada tanggapan kata, kita tidak bergerak di landasan yang betul. Ada tetapi terlalu perlahan. Jadi kita kena lebih pantas dalam hal ini” katanya pada sesi dialog dengan para pelajar dan profesional rakyat Malaysia di Melbourne sempena lawatan kerja sembilan hari beliau ke Melbourne, Brisbane dan Gold Coast di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad.

Menurut Muhyiddin, kerajaan sudah tentunya mahu mewujudkan sistem pendidikan terbaik bagi sekolah, kolej dan universiti dan usaha gigih itu telah berterusan sejak beberapa tahun lalu bagi memastikan Malaysia berada dalam kelompok terbaik dunia.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran memberitahu, walaupun masih jauh ketinggalan berbanding universiti-universiti ternama dunia seperti Monash University, Malaysia tidak pernah berputus asa berusaha bagi mencapai cita-cita itu.

Menurut Muhyiddin, dakwaan mengatakan institusi pengajian tinggi tempatan tidak setaraf dengan universiti-universiti di luar negara juga tidak tepat kerana ada pelajar Malaysia memilih belajar di universiti luar negara kerana mereka tidak mencapai kelulusan yang disyaratkan.

“Pelajar-pelajar ini memilih universiti luar negara kerana mereka tidak layak dan tidak mendapat tempat di universiti tempatan dan universiti luar negara yang dipilih itu pula bukan yang terbaik.

“Kalau kita nak kata semua yang baik berada di luar dan universiti kita tidak setaraf juga tidak betul,” tegasnya.

Menurut Muhyiddin lagi, era yang mengatakan pendidikan berkualiti hanya mampu ditawarkan di luar negara sudah berlalu.

Katanya, akan tiba era yang mana anak-anak tempatan tidak lagi memilih universiti luar negara untuk menyambung pelajaran sebaliknya lebih berminat dengan universiti tempatan. – UTUSAN

“Jangan terkejut suatu hari nanti anak-anak kita kata, kenapa saya perlu ke universiti luar sedangkan saya boleh belajar di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malayia atau ‘Universiti Pagoh’,” katanya.”

Timbalan Perdana Menteri menambah kata, bagi tujuan itu kerajaan bukan sahaja menyediakan pendidikan terbaik bagi peringkat sekolah rendah dan menengah tetapi juga bagi pendidikan tinggi.

“Universiti kita mesti berada dalam kelompok 100 terbaik. Kita sedang berusaha mencapainya secara perlahan-lahan,” katanya.

Muhyiddin berkata, pada masa ini lebih ramai penuntut asing memilih untuk belajar di Malaysia malah ada juga rakyat Australia datang ke institusi pengajian tinggi di Malaysia kerana kos pengajiannya lebih murah.

Muhyiddin juga mahu lebih ramai rakyat Malaysia belajar di tanah air berikutan perkembangan teknologi yang membolehkan pengajian peringkat universiti dan kolej dijalankan menerusi online atau secara jarak jauh.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, sejak tahun lalu kerajaan memperkenalkan dasar baru yang membolehkan lebih banyak biasiswa diberikan kepada pelajar-pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian di dalam negara.

Mereka katanya, hanya akan dihantar ke luar negara jika bidang pengajian yang dikuti tidak ditawarkan oleh institusi-institusi pengajian tinggi dalam negara.

“Pada ketika kita menghantar pelajar belajar di luar negara, kita juga mahu lebih ramai pelajar luar datang melanjutkan pelajaran ke negara kita bagi menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan,” kata beliau. – UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121112/dn_01/Sasaran-pendidikan-tinggi-negara#ixzz2BzVEmxhs
© Utusan Melayu (M) Bhd