Tidak patut anggap guru lama berkhidmat sebagai tidak cemerlang

15 November 2012, Khamis

MD ISA
Kepala Batas, Pulau Pinang.

SAYA merujuk kepada syor kenaikan pangkat secara time based dikaji semula yang disiarkan di ruangan ini pada Selasa 13 November.

Saranan Peneroka Ilmu dari Sungai Petani, Kedah ini menjurus kepada prestasi guru yang tidak seberapa. Apakah kriteria yang dilihat oleh penulis untuk menilai prestasi guru yang rata-rata bertugas dengan baik?

Tidak dinafikan memang ada guru kurang berdedikasi, namun bukan mereka tidak bekerja langsung. Adalah tidak patut melabelkan guru yang sudah 20 tahun bertugas dikatakan tidak cemerlang, sedangkan saban tahun prestasi murid dan peratus murid yang lulus semakin meningkat.

Agak malang bagi guru yang berkhidmat lebih daripada 20 tahun masih di tangga gred bawah kerana masalah birokrasi. Ia telah berlaku sejak sistem gaji melintang, menegak dan statik dimulakan.

Apabila sistem SSM dilaksanakan masih ada ketidakadilan. Jadi kerajaan telah memperkenalkan sistem time based selaras dengan kebajikan kakitangan awam. Mengapa masih dipertikaikan sedangkan ia baru bermula?

Jika diubah kembali, bagaimana dengan kakitangan yang sebelum ini cukup-cukup 10 tahun sudah ada kenaikan time based sedangkan masih kurang pengalaman malah biasa-biasa saja?

Persoalannya, apakah pangkat pegawai akan ditarik balik, gaji akan dipotong atau pegawai yang seterusnya akan dibiarkan kekal di gred lama? Banyak penyelarasan yang akan berlaku.

Oleh itu sebelum mengesyorkan sesuatu saranan yang melibatkan kewangan, lebih baik cadangkan bagaimana meningkatkan prestasi kerja. Menyekat kenaikan pangkat seseorang tidak mengubah apa-apa.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20121115/fo_03/Tidak-patut-anggap-guru-lama-berkhidmat-sebagai-tidak-cemerlang#ixzz2CMKanchi
© Utusan Melayu (M) Bhd