Bogel: Polis rakam percakapan 8 guru, pelajar

ARKIB : 22/11/2012

JOHOR BAHRU 21 Nov. – Polis sudah merakam percakapan lapan individu termasuk guru dan pelajar sebuah sekolah di sini bagi membantu siasatan kes 17 pelajar sekolah yang mendakwa dihukum berbogel dan tekan tubi sebanyak 700 kali.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, keterangan yang diambil itu bagi membolehkan polis menjalankan siasatan setelah pihaknya menerima tiga laporan berkaitan kejadian itu.

“Kertas siasatan sudah dibuka dan satu pasukan khas diketuai Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Azizan Anan sudah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan.

“Seramai lapan saksi termasuk guru dan pelajar sekolah terbabit diambil rakaman percakapan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan kes 17 pelajar sekolah berkenaan yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dihukum menanggalkan seluar dan tekan tubi 700 kali.

Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa turut ditendang, ditumbuk di perut, muka dan paha sambil disaksikan 26 pelajar asrama lelaki sekolah terbabit.

Mohd. Mokhtar meminta ibu bapa serta pihak lain agar tidak membuat sebarang spekulasi tentang kejadian itu bagi membolehkan polis menyelesaikan siasatan kes tersebut.

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121122/dn_13/Bogel-Polis-rakam-percakapan-8-guru-pelajar#ixzz2D0BckVnq

© Utusan Melayu (M) Bhd