Pendidikan dan perubahan nilai

22 November 2012, Khamis

DR. Rais Yatim ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa School Of Tomorrow 2012 di Petaling Jaya, semalam. Persidangan dua hari itu dianjurkan oleh Beaconhouse Group dengan bertemakan “Memperkasa Pelajar Sepanjang Hayat”. – BERNAMA

Petikan teks ucapan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim pada Persidangan Antarabangsa School of Tomorrow: Memperkasa Pelajar Sepanjang Hayat anjuran Beaconhouse Group, sistem sekolah swasta antarabangsa berusia 33 tahun, di Petaling Jaya, semalam.

 


 

PERSIDANGAN ini mencerminkan proses pemikiran dan perancangan dalam memperkukuhkan tamadun.

Ingin saya utarakan, apa yang Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan lakukan di majlis seperti ini di mana para pendidik memperkatakan mengenai pendidikan dan pembelajaran masa hadapan.

Pada saya, jawapannya mudah. Ia adalah kerana Menteri Penerangan memberi maklumat, Menteri Komunikasi berkomunikasi dan Menteri Kebudayaan ‘membudayakan’.

Dalam kebanyakan kamus Oxford tidak memperkatakan apa-apa mengenai kata kerja membudayakan, saya yakin bahawa fungsi ini di sini, sememangnya membudayakan banyak perkara, jika tidak dengan segera, sekurang-kurangnya pada masa hadapan.

Kehidupan kita pastinya dalam dekad yang akan datang akan banyak kali berubah disebabkan trend dan penemuan dalam bidang sains, dunia siber, apatah lagi politik, fesyen dan sudah pasti budaya itu sendiri.

Kehadiran saya di sini bersama-sama orang berilmu adalah sebahagian besarnya disebabkan persahabatan dengan Duta Pakistan yang telah saya kenali sejak 2008 semasa saya berada dalam metamorfosis politik berbeza iaitu sebagai Menteri Luar Malaysia dan beliau adalah penasihat hubungan luar yang terkenal di Islamabad.

Antara tahun 2008 dan kini 2012, dalam masa hanya empat tahun, kita telah melihat perubahan terutama dalam bidang pendidikan, yang mewujudkan kemanusiaan melibatkan semua.

Saya amat berbesar hati untuk berada di sini di kalangan pendidik, ahli akademik yang dihormati dan yang paling utama Beaconhouse School System yang mengumpulkan pemikir, pendidik, pembuat dasar dan golongan profesional yang berpengalaman.

Anda adalah panduan kami untuk masa depan, anda adalah penjaga sistem nilai yang akan menggerakkan ketamadunan, yang akan mendidik dan melahirkan bangsa, pemimpin dan golongan istimewa. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada anda kerana mengadakan persidangan ini.

Kita berada di sini untuk menilai semua kepercayaan konvensional mengenai apa yang dimaksudkan dengan pengajaran dan pembelajaran progresif dan dalam masa sama membantu untuk mengubah suasana pembelajaran kanak-kanak di sekolah di semua peringkat. Ini sudah pasti akan terus menggerakkan tamadun manusia.

Bagi mereka yang tidak biasa dengan istilah tamadun manusia dan pendidikan, kita mungkin boleh berjinak dengan trend itu sekarang. Dengan pendidikan, kita mengubah masa depan. Dengan pendidikan, kita menggerakkan kemajuan. Dan dengan pendidikan, kita mungkin hilang atau menambah nilai-nilai yang ada.

Beribu-ribu orang Asia pulang dari Eropah, Amerika, Australia dan New Zealand setiap tahun dengan ijazah di tangan mereka. Mereka membawa pulang ijazah dari Eropah, Amerika, Kanada, Australia dan New Zealand, dan paling penting membawa pulang bersama nilai-nilai mereka.

(Di) Asia, mereka yang sebelum ini berada dalam kepompong mereka sendiri pantas menjadi penentu dan penggerak tamadun dan pendidikan Barat.

Pengkritik mungkin menyelar saya dengan mengatakan, janganlah kita melingkungkan pendidikan dengan Barat dan Timur, atau dengan Utara dan Selatan. Tetapi dunia ini bukannya hitam dan putih. Dunia ini penuh dengan warna-warni, sistem, pemikiran dan pengalaman.

Setakat ini, saya akan mengatakan bahawa pendidikan Barat telah menyelubungi kita semua dalam satu sistem yang kita mungkin tidak berani untuk mengatakan bagaimana dan ke arah mana kita akan tuju selepas ini.

Tetapi buat masa ini sistem itu adalah baik dan mereka memberi kita apa yang diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan dan pembangunan kita.

Izinkan juga saya menyebut bahawa beribu-ribu juga telah pulang ke Malaysia dengan ijazah dari Timur Tengah dengan kepakaran dalam bidang syariah, usuluddin, Quran dan hadis.

Kita telah melihat bagaimana agama dijadikan alat politik dan sebaliknya, bagaimana hak asasi manusia telah dicampur aduk dengan pegangan yang tidak adil dan tidak wajar. Itu bercakap secara umumnya.

Dalam istilah yang lebih spesifik, sebab usaha Taliban cuba membunuh Malala (Yousafzai) dan filem Innocence of Muslims adalah dua kejadian terbaharu mengenai apa yang pendidikan yang bersifat ekstrem boleh lakukan terhadap kemanusiaan.

Pendidikan mengubah kehidupan manusia dan nasib manusia. Ketika pemikir-pemikir Malaysia dari institusi British, Amerika, Australia dan Eropah pulang ke Malaysia dengan kelayakan ijazah dalam komputer sains, siber, undang-undang, perubatan dan hiburan, dan sebagainya, mereka juga membawa pulang bersama-sama nilai dan tabiat, ada yang berakar umbi dan boleh mewujudkan tindakan untuk perubahan.

Dan apa yang biasanya tidak dinyatakan ialah dalam kalangan mereka dan nilai yang baru mereka peroleh, idea mengenai hak asasi manusia dan kebebasan mula menjalar dan merebak perlahan-lahan tetapi dengan penuh keyakinan.

Dan dengan dorongan pemangkin yang terhasil daripada kuasa internet dan dunia siber melalui medium media sosial, ia adalah ramuan untuk menjurus kepada perubahan mendadak.

Dan secara tiba-tiba golongan muda menjadi terkenal di pentas nasional, dan selalunya dengan sikap melawan dan konfrantasi. Ramai pemimpin kerajaan secara tiba-tiba menjadi terkejut dan hilang punca sambil bertanya, “Apa yang melanda kita?”

Sesetengah pemimpin ini kini dipenjara manakala ada yang takut akan diketepikan daripada sistem ciptaan mereka sendiri. Pendidikan dan perubahan nilai, nilai-nilai budaya jika anda suka, telah hadir dalam kehidupan kita.

Persoalannya kini ialah, sejauh mana relevan tajuk ini kepada persidangan kita di sini. Kepada saya, relevannya adalah jelas kerana nilai yang akan diajar oleh Beaconhouse pada masa depan, nilai yang anda dan saya akan lihat dalam kalangan anak-anak dan cucu kita akan menunjukkan jenis Pakistan yang akan kita lihat, dan jenis Malaysia yang akan kita alami.

Sebenarnya apa yang melanda ialah pendidikan dan perubahan nilai. Oleh itu, jika Beaconhouse boleh membawa perubahan melalui pendidikan, kemanusiaan akan menjadi lebih baik.

Dengan dunia siber tanpa sempadan sejak tahun-tahun kebelakangan ini, pembentukan tamadun baru sedang berjalan dan dalam proses pembuatan. China dan Jepun, jika saya boleh berkata demikian, dilihat telah hilang dalam apa yang dikatakan eksport budaya kerana mereka sendiri telah meninggalkan banyak nilai ‘Confucianisme dan Taoisme’ atau kebijaksanaan silam masyarakat Timur.

Di kawasan Nusantara dalam dunia berbahasa Melayu di Asia Tenggara yang sebahagian besarnya terdiri daripada Malaysia dan Indonesia, rukun budi bahasa atau nilai positif yang termasuk sikap hormat yang mendalam terhadap golongan tua, kerjasama kolektif atau gotong-royong telah terhakis dan hampir menjadi amalan yang semakin dilupakan.

Apa yang kita ada kini adalah sekumpulan orang yang tidak puas hati dan mereka yang bersedia untuk mengatakan tidak tanpa kehalusan yang biasa kita ketahui atau ibu bapa kita gunakan atau lalui.

Adakah itu bagus atau tidak? Anda jawab sendiri soalan ini kerana ini bukan ceramah, ini adalah sedikit ucapan.

Dalam pendidikan Barat berkaitan sains, kemanusiaan tidak pernah begitu berharga seperti mana pendidikan itu pada masa ini. Setiap penuntut universiti rakyat Malaysia yang ditanya soalan ini, “Di mana alma mater anda?” Ramai mungkin akan menjawab dengan menyatakan alma mater mereka terletak di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Kanada atau New Zealand.

Soalan saya ialah, dalam dekad akan datang, adakah seseorang akan mengatakan alma mater saya ialah di Islamabad atau Arab Saudi, Kuala Lumpur atau Indonesia.

Sesetengahnya mungkin sudah pasti memberi jawapan yang berkaitan dengan Jepun, China atau mungkin Taiwan atau Indonesia tetapi ini adalah sedikit dan terlalu jauh. Tetapi hakikatnya, pendidikan Amerika, British dan Eropah telah menjadi sebagai penggerak dan pencipta pada masa ini.

Apa yang rakyat Malaysia belajar dari Harvard atau dari MIT akan selama-lamanya berada dalam jiwa mereka. Kita mesti, pada masa sama, perlu menyediakan mereka dengan jiwa yang terbaik sebagai sebahagian daripada dunia ini.

Saya ingin menunjukkan bahawa pendidikan sekarang dilihat sebagai usaha komersial. Tatapi bayaran dan kualiti pendidikan mesti seimbang, supaya di satu pihak pelabur pendidikan akan memperoleh keuntungan manakala pelajar dan ibu bapa mereka akan dibebani hutang. Ia adalah keseimbangan yang perlu dipertimbangkan untuk masa depan.

Mengenai pendidikan sepanjang hayat, ingin saya tanya soalan ini: Sebagai seorang guru saya mahu tahu siapa yang mengajar guru? Dan guru A, guru B, guru C, siapa yang ajar mereka? Dan kita tanya mereka, siapa yang ajar guru kepada guru? Soalan ini mesti dijawab kerana produk mesti daripada ramuan yang baik dan mesti dibayar dengan baik, barulah kita mempunyai ramuan untuk masa depan yang baik.

Tetapi Einstein pernah berkata; “Saya mungkin betul pada teori relativiti tetapi saya guru yang sangat teruk.” Einstein menyatakan itu. tetapi beliau kemudian mengajar sekumpulan siswazah Harvard. Dan beliau adalah seorang guru yang baik. Oleh itu, teori relativiti telah diterjemah ke dalam 27 bahasa.

Keperluan untuk mengajar seni berfikir, komunikasi dan budaya sebagai mana ia dilihat kini sedang diteruskan oleh Beaconhouse dalam usaha untuk mencapai kecemerlangan.

Sebagaimana dikatakan pedagogis, pengetahuan adalah kuasa yang jelas daripada keupayaannya. Tetapi saya lebih suka untuk berpegang kepada kebijaksanaan William Chaucer, bahawa mendidik adalah untuk mengajar seni dalam mencapai kebahagian dalam kehidupan.

Thomas Jefferson berkata ini lebih meyakinkan apabila beliau mula merangka perlembagaan Amerika lebih 200 tahun lepas, bahawa “penjagaan kehidupan manusia ialah kebahagiaan, dan bukan memusnahkan mereka, adalah yang pertama dan satu-satunya objek kerajaan yang baik”.

Saya hanya perlu menambah dengan mengatakan bahawa kerajaan bukan terhasil daripada pendidikan yang buruk tetapi daripada pendidikan yang baik, dan Beaconhouse, anda mempunyai merit dan kelayakan. – BERNAMA

 

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121122/re_02/Pendidikan–dan-perubahan-nilai#ixzz2D0DSGEMS

© Utusan Melayu (M) Bhd