26 banduan muda ikuti pendidikan jarak jauh

28 November 2012,Rabu

PERSEMBAHAN pelajar-pelajar dari Sekolah Integriti Marang yang muncul johan Pertandingan Kawad Kaki di Penjara Marang, Terengganu, semalam.

MARANG 27 Nov. – Seramai 26 banduan muda kini mengikuti pendidikan jarak jauh (PJJ) secara dalam talian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara bagi membolehkan mereka memulakan penghidupan lebih baik selepas dibebaskan.

Pengarah Pengurusan Banduan Ibu Pejabat Penjara, Komisioner Penjara Jamaluddin Saad (gambar) berkata, kesemuanya yang mengikuti pelbagai kursus peringkat diploma dan sarjana muda itu mengikuti pembelajaran dengan bimbingan pensyarah.

“Sejak program itu diperkenalkan beberapa tahun lalu, seramai 26 banduan telah mengikuti pelbagai bidang pengajian di Universiti Sains Malaysia, Universiti Terbuka Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

“Kita turut mendapat kerjasama yang baik daripada beberapa buah universiti lain serta Kementerian Pelajaran untuk menyediakan kemudahan buat penghuni penjara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Penutupan Pertandingan Kawad Kaki, Tangan Emas dan Anugerah Kecemerlangan Akademi Sekolah Integriti (SI) dan Sekolah Henry Gurney (SHG) Jabatan Penjara 2012 di Penjara Marang, Pulau Kerengga, dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Jamaluddin turut memaklumkan sebanyak tiga buah SI baharu telah disediakan di tiga buah penjara iaitu di Bentong (Pahang), Muar (Johor) dan Penjara Wanita Kota Kinabalu (Sabah).

Jelasnya, melalui SI yang disediakan itu mampu membantu meningkatkan kemahiran dan pengetahuan kepada banduan muda berkenaan sepanjang mereka berada di dalam penjara.

“Jika sebelum ini, tiada SI disediakan untuk wanita, namun kita telah menubuhkan SI Bentong bagi menempatkan banduan mulai April lalu dan setakat ini hanya 16 banduan telah mula mengikuti program seperti spa, refleksologi dan hiasan rambut,” ujar beliau.

Sementara itu, dalam pertandingan yang diadakan, SI Marang membolot gelaran juara Pertandingan Kawad Kaki dan Pertandingan Tangan Emas setelah menewaskan SI Kajang, SI Kluang, SI Sungai Petani, SI Muar dan SHG Telok Mas.

Turut diberi penghargaan, tiga calon yang memperoleh pencapaian cemerlang dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Penilaian Malaysia (SPM) serta dua lagi masing-masing menerima Anugerah Pelajar Terbaik Kokurikulum dan Anugerah Khas Ketua Pengarah Penjara Malaysia.

Anugerah Pengurusan Sekolah Terbaik pula diterima oleh SI Kajang manakala Anugerah Lonjakan Saujana PMR dan SPM 2012 diberi kepada SI Marang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121128/dn_06/26-banduan-muda-ikuti-pendidikan-jarak-jauh#ixzz2DZVXl4tK
© Utusan Melayu (M) Bhd