48,520 murid punyai masalah pembelajaran

06 Disember 2012, Khamis

KUALA LUMPUR 6 Dis. – Seramai 48,520 orang murid di negara ini mempunyai masalah pembelajaran termasuk penghidap Sindrom Down, Autism dan Attention Deficit-Hyperactivity Disorder (ADHD), persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Wee Ka Siong berkata daripada jumlah itu, seramai 29,169 orang adalah murid sekolah rendah dan selebihnya murid sekolah menengah.

“Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran membuka sebanyak 2,050 Program Pendidikan Khas Integrasi bagi murid bermasalah pembelajaran di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Senator Dayang Madinah Tun Abang Openg di sini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Maznah Mazlan berkata sehingga Oktober lepas, seramai 3,657 banduan dan tahanan didaftarkan sebagai perantis dalam program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) bagi pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap Satu.

Sebanyak 48 bidang latihan boleh diikuti seperti pembuat pakaian, jurukimpal dan pramusaji selama tempoh enam bulan iaitu dua bulan untuk latihan teori dan selebihnya latihan praktikal, katanya.

“Setakat ini, seramai 94 banduan telah menamatkan latihan dan berjaya ditempatkan dalam alam pekerjaan. Selain itu, ia turut dapat meningkat kemahiran diri dan taraf hidup mereka,” katanya menjawab soalan Senator Muhamad Yusof Husin. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121206/dn_29/48520-murid-punyai-masalah-pembelajaran#ixzz2Ec5FoJjF
© Utusan Melayu (M) Bhd