Pemuliharaan hutan, alam semula jadi subjek di sekolah

11 Disember 2012, Selasa

KUALA LUMPUR 10 Dis. – Subjek pemuliharaan hutan dan alam semula jadi untuk pembelajaran pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah terus diutamakan oleh Kementerian Pelajaran dalam pendidikan merentasi kokurikulum dan kokurikulum.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, pengetahuan dan kesedaran pelajar terhadap alam sekitar dan pemuliharaan alam semula jadi telah diajar dalam mata pelajaran Geografi dan Sains sejak 1992.

Selain itu, kata beliau, kementerian juga menyelitkan elemen alam sekitar dan ekosistem ke dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral menerusi pendidikan merentasi kokurikulum.

”Kita memasukkan unsur seperti tuhan pencipta alam dan semesta, bumi dan alam semesta, benda bukan hidup, sumber semulajadi dan tenaga, benda hidup dan alam sekitar, interaksi antara manusia dan haiwan dan pengurusan alam sekitar.

”Bagi kaedah kokurikulum pula, pelajar dilibatkan dengan aktiviti pemuliharaan tumbuh-tumbuhan semulajadi dan hidupan liar di luar bilik

darjah. Kita jalankan aktiviti seperti ini dari masa ke semasa,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Dayang Madinah Abang Openg yang ingin tahu pendekatan yang diambil oleh kementerian tersebut dalam mengutamakan pendidikan alam sekitar dan alam semulajadi.

Mohd. Puad berkata, dalam usaha kementerian memperkukuhkan pembelajaran bagi subjek berkenaan, kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Jabatan Perhutanan dan Kehidupan Liar Perhilitan sentiasa dilakukan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121211/pa_01/Pemuliharaan-hutan-alam-semula-jadi-subjek-di-sekolah#ixzz2EhDc156c
© Utusan Melayu (M) Bhd