PPPM bentuk pelajar berfikiran inovatif

10 Disember 2012, Isnin

LABUAN 9 Dis. – Kemahiran berfikir, berbahasa dan penguasaan teknologi maklumat merupakan pendekatan yang akan dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran dalam memperkasa golongan pelajar menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan bermula tahun depan sehingga 2025.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kajian berhubung pelan pembangunan tersebut akan siap sepenuhnya pada bulan ini.

Katanya, sistem pendidikan lama menyebabkan pelajar lebih terikat dengan pelbagai peperiksaan yang menyebabkan golongan tersebut tidak banyak didedahkan terhadap kemahiran berfikir.

“Menerusi pembentangan laporan daripada Program Untuk Penilaian Antarabangsa (PISA) bagi mata pelajaran sains dan matematik, Malaysia berada di tangga ke-54.

“Ini satu pencapaian agak lemah meskipun taraf pendidikan kita sudah berada di tahap membanggakan,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat Kolej Matrikulasi Labuan di sini baru-baru ini.

Yang hadir sama, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yusof Mahal; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Shukor Ibrahim; Pengarah Bahagian Matrikulasi kementerian, Dr. Sariah Abdul Jalil dan Pengarah Kolej Matrikulasi Labuan, Sawang Amid.

Mohd. Puad berkata, PPPM yang dibentuk daripada input dan pandangan pelbagai pihak menerusi perbincangan meja bulat, bakal menjadi pelan induk kepada kementerian itu untuk membentuk masyarakat berdaya saing.

Katanya, sebanyak 11 anjakan akan dilakukan oleh pihak kementerian dalam melaksanakan pelan pembangunan tersebut termasuk sistem pentafsiran yang akan dilaksanakan dan bukan sekadar peperiksaan sahaja.

Jelasnya, aspek berhubung kualiti guru, penggunaan teknologi maklumat secara meluas dan pelaksanaan 1Bestari Net antara perkara yang akan dititikberatkan dalam pelan pembangunan tersebut.

Dalam majlis tersebut, Mohd. Puad turut meluangkan masa meninjau kerosakan dan masalah yang dihadapi oleh kolej tersebut terutama melibatkan aspek struktur bangunan, kebocoran siling dan pendawaian.

Buat permulaan, pihak kementerian bersetuju meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi membaiki dan menyelesaikan masalah utama di dalam kolej tersebut bagi memberi keselesaan kepada pelajar pusat matrikulasi tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sabah_&_Sarawak/20121210/wb_02/PPPM-bentuk-pelajar-berfikiran-inovatif#ixzz2EhCkJmxj
© Utusan Melayu (M) Bhd