530 guru dikenal pasti berdepan masalah mental

13 Disember 2012, Khamis

KUALA LUMPUR 12 Dis. – Seramai 530 guru iaitu mewakili 0.128 peratus daripada jumlah guru di seluruh negara menghadapi masalah gangguan mental berdasarkan proses intervensi yang dilakukan oleh Kementerian Pelajaran tahun ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, jumlah itu berkurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya iaitu 747 pada tahun 2011 serta 2010 dan 744 yang dicatatkan pada 2009.

Walaupun begitu, katanya, kementerian tetap memberikan perhatian serius terhadap masalah tersebut kerana khuatir boleh mengganggu proses pengajaran serta pembelajaran di dalam bilik darjah.

“Berdasarkan kajian, kami mendapati terdapat 12 sebab yang menjadi punca gangguan metal dalam kalangan guru dan paling tinggi adalah disebabkan oleh keturunan iaitu sebanyak 76.47 peratus.

“Sebab-sebab lain termasuklah gangguan personaliti sebanyak 52.94 peratus; meroyan (35.29); gangguan saraf (35.29); penyakit misteri (29.41); penderaan keluarga (23.53); stres organisasi (23.52); kecederaan atau kemalangan (23.52); kesan ubat (17.64); gejala psikosis (17.64); krisis rumahtangga (11.76) dan rawatan jangka panjang (11.76).

“Oleh sebab itu, pihak kementerian telah mengambil inisiatif dengan menyediakan khidmat sokongan sosial melalui kaunselor organisasi yang dilaksanakan secara berterusan bagi membantu guru-guru yang menghadapi gangguan emosi dan gangguan mental serius atau terpengaruh dengan perkara-perkara tidak bermoral termasuklah budaya LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender),” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Dr. Johari Mat yang ingin mengetahui sejauh mana pemantauan dilakukan oleh pihak kementerian terhadap guru-guru bermasalah di sekolah seperti gangguan mental termasuklah budaya LGBT kerana memberi kesan negatif kepada generasi Malaysia pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad memberitahu, tindakan lain diambil oleh kementerian untuk mengatasi serta membantu guru-guru yang mempunyai masalah gangguan mental termasuklah menawarkan untuk ke Jawatan Kumpulan (Pool) yang sehingga kini, jumlah guru bermasalah yang dimasukkan ke jawatan itu adalah seramai 235 orang.

“Selain itu, guru-guru bermasalah juga dicadang mendapatkan rawatan psikiatrik yang dilaksanakan melalui jalinan hubungan Kaunselor Organisasi kementerian dengan psikiatrik di Kementerian Kesihatan,” jelasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121213/pa_03/530-guru-dikenal-pasti-berdepan-masalah-mental#ixzz2F0q0ruqJ 
© Utusan Melayu (M) Bhd