1,811 pelajar dibuang sekolah

19 Disember 2012, Rabu

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Seramai 1,811 murid dan pelajar telah dibuang sekolah setakat November lalu kerana melakukan kesalahan disiplin yang berat.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong (gambar) berkata, tindakan itu tidak dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya merupakan langkah terakhir selepas beberapa langkah awal seperti memberi amaran, nasihat, motivasi serta gantung sekolah dilaksanakan.

“Sekiranya masih melakukan kesalahan yang bercanggah dengan disiplin sekolah, pihak sekolah tidak boleh buat apa-apa selain membuang murid atau pelajar bermasalah ini,” katanya menjawab soalan Senator Noriah Mahat dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Mengulas lanjut Ka Siong memberitahu, setiap sekolah telah ditempatkan seorang guru bimbingan dan kaunseling (GBK).

“Bagi sekolah menengah, kementerian menempatkan seorang GBK bagi jumlah murid seramai 500 orang ke bawah. Bagi sekolah rendah pula, seorang GBK untuk 350 ke 850 orang murid.

“Selain itu, kementerian turut menggariskan empat prinsip untuk meningkatkan perkhidmatan guru berkenaan iaitu memfokus kepada pembangunan dan perkembangan sahsiah diri pelajar, peningkatan disiplin diri, pendidikan kerjaya dan psiko sosial termasuk mental pelajar,” jelasnya.

Menurut Ka Siong, sejak program pelantikan GBK di setiap sekolah dilaksanakan, indeks disiplin murid dan pelajar sekolah berada pada tahap purata 2.07 peratus sejak 2007.

Katanya, pada 2010 kadar tersebut adalah pada 2.06 peratus dan pada 2011 menurun kepada 2.05 peratus.

Menurut Ka Siong, ibu bapa kepada murid atau pelajar yang dibuang sekolah boleh merayu kepada Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negara (JPN) supaya memberi peluang kedua kepada anak mereka.

Kata beliau, murid atau pelajar yang dibuang dari sekolah asal akan ditukarkan ke sekolah lain untuk memberi persekitaran baru kepada mereka.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121219/pa_04/1811-pelajar-dibuang-sekolah#ixzz2FYCBbelm
© Utusan Melayu (M) Bhd