Sedia kaji imbuhan khas guru, pensyarah

Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran sedia mengkaji saranan memberi imbuhan khas termasuk kenaikan gaji kepada 30,000 guru dan pensyarah di sekolah, kolej matrikulasi dan institut pendidikan guru (IPG) yang mempunyai ijazah lanjutan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata kementerian akan terus berusaha memperbaiki laluan kerjaya guru supaya dilihat lebih menarik setimpal dengan bebanan tugas mereka.

Ambil berat kebajikan

Katanya, kementeriannya juga tidak pernah mengabaikan dan sentiasa menitik berat kebajikan guru di atas sumbangan besar mereka sebagai warga pendidik.

Kelulusan bergantung JPA

Bagaimanapun katanya, sebarang kelulusan bergantung kepada persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Perbendaharaan kerana ia membabitkan kewangan kerajaan.

Kementerian sedia kaji saranan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan itu. NUTP boleh mengemukakan cadangan lebih konkrit untuk kajian, katanya.
Semalam, Presiden NUTP, Hashim Adnan meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan memberi imbuhan dengan memberi kenaikan dua tangga gaji kepada lulusan ijazah lanjutan dan tiga tangga gaji bagi pemegang doktor falsafah (PhD).

Katanya, ini berikutan ramai guru dan pensyarah menyahut seruan kementerian untuk memperoleh ijazah lanjutan, demi transformasi pendidikan negara.