Guru wanita tiada masalah kewangan

31 Disember 2012, Isnin

Oleh NORIZAN ABDUL MUHID
pendidikan@utusan.com.my

SATU kajian yang dijalankan bagi mengukur tahap kewangan guru wanita di negara ini mendapati tahap kesukaran kewangan golongan tersebut adalah rendah manakala kesejahteraan kewangan mereka pula berada di tahap sederhana.

Kajian itu yang dibentangkan dalam kertas kerja bertajuk ‘Kesukaran dan Kesejahteraan Kewangan: Kajian Kes Guru Wanita‘ oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sosial, Pembangunan dan Persekitaran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Zaimah Ramli memilih 325 orang guru wanita di Bandar Baru Bangi sebagai responden.

Guru wanita difokuskan dalam kajian itu kerana mereka mewakili hampir 70 peratus daripada jumlah keseluruhan guru yang terdapat di Malaysia.

Berdasarkan statistik Kementerian Pelajaran setakat 31 Januari lalu, jumlah guru wanita adalah sebanyak 285,299 orang.

“Hasil kesimpulan yang dilakukan daripada kaji selidik guru-guru wanita di Bandar Baru Bangi mendapati golongan tersebut tidak menghadapi masalah kesukaran kewangan serius namun kajian mencadangkan agar beberapa perkara perlu diberi perhatian bagi mengelak kesulitan kewangan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja dalam International Conference on Social Sciences and Humanities 2012 di UKM, Bangi, Selangor baru-baru ini.

Menurut Zaimah, terdapat petunjuk berlakunya masalah ketidakcukupan wang dalam kehidupan harian guru yang mungkin disebabkan peningkatan kos sara hidup di bandar.

“Hal ini dikesan dalam perkara ‘menggunakan simpanan untuk keperluan harian’ yang menunjukkan peratusan tertinggi iaitu pada skala ‘jarang-jarang’,” jelasnya.

Perkara lain yang wajar diberi perhatian dalam aspek kewangan guru wanita adalah ‘berbelanja melebihi 20 peratus daripada gaji untuk bayaran ansuran’ pada skala ‘tidak pernah’.

“Kegagalan mengurus wang serta membezakan antara keperluan dan kehendak boleh menyebabkan guru terjebak dalam situasi beban kewangan yang serius,” katanya.

Selain itu, ujarnya, faktor lain yang perlu diberi perhatian ialah ‘menyimpan kurang 10 peratus daripada jumlah pendapatan bulanan’ pada skala ‘ja- rang-jarang’ dan ‘kadang-kadang’.

“Merujuk kepada pakar kewangan peribadi, setiap individu perlu menyimpan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan bulanan bagi menjamin keteguhan dan kesejahteraan kewangan.

“Namun pada masa yang sama, kajian tidak mengenal pasti punca kegagalan sebahagian guru-guru wanita ini menyimpan pada kadar ditetapkan,” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan beberapa contoh tingkah laku kewangan positif yang penting dan perlu diamalkan setiap individu seperti mempunyai belanjawan peribadi dan mematuhinya, membuat simpanan secara konsisten, mengurangkan pinjaman terutama pinjaman peribadi, amalan membayar bil-bil utiliti dan ansuran bulanan tepat.

Kajian dijalankan ke atas purata guru wanita berusia 40 tahun dan separuh atau 44.3 peratus berusia 35 hingga 45 tahun dengan 92 peratus sudah berkahwin manakala 85 peratus pula daripada mereka berpendidikan lepasan universiti.

Bagi tempoh perkhidmatan, purata daripada responden sudah berkhidmat selama 15 tahun dan hampir 30 peratus berkhidmat melebihi 20 tahun.

Dari segi purata pendapatan, guru wanita merekodkan pendapatan sebanyak RM4,450 sebulan dengan 70.2 peratus mencatatkan pendapatan pada RM3,500 hingga RM4,500 sebulan manakala 27 peratus pula menikmati pendapatan melebihi RM4,500.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121231/pe_02/Guru-wanita-tiada-masalah-kewangan#ixzz2GmCazOFU
© Utusan Melayu (M) Bhd