Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia ke Kabinet bulan depan

29 Disember 2012, Sabtu

PUTRAJAYA 28 Dis. – Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang kini di peringkat akhir akan dibentangkan kepada Kabinet dan Majlis Raja-Raja Melayu pada bulan hadapan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelan komprehensif itu telah mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak yang berkepentingan dengan industri pendidikan negara.

“Semua laporan yang diterima sudah diambil kira dan tidak ada pihak yang terkecuali. Jadi, laporan ini agak komprehensif dan lengkap.

“Tetapi apa yang penting adalah kita akan mulakan pelaksanaan pelan itu tahun depan dengan memberi tumpuan kepada perkara yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan amanat di Majlis Interaksi Timbalan Perdana Menteri Bersama Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Muda, di sini hari ini.

Pada September lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah melancarkan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan 11 anjakan strategik dan operasi untuk menambah baik sistem pendidikan negara.

Laporan awal itu memaparkan visi menyediakan sebuah sistem pendidikan dan menghasilkan pelajar yang diperlukan negara di samping langkah-langkah penambahbaikan untuk mencapai sasaran tersebut.

Ditanya mengenai tuntutan Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Muhyiddin berkata, pihaknya tidak mungkin boleh memuaskan hati semua pihak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121229/dn_03/Pelan-Pembangunan-Pendidikan-Malaysia-ke-Kabinet-bulan-depan#ixzz2Gm87K8di
© Utusan Melayu (M) Bhd