Pusat kreatif anak autisme

29 Disember 2012, Sabtu

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my

Pusat ini memberi harapan baru buat kanak-kanak autisme.

SEMASA umur Wan Mei (bukan nama sebenar) mencecah 2 tahun, kanak-kanak tersebut didapati masih tidak boleh bercakap mahupun memberi tindak balas apabila namanya dipanggil. Dia hanya terpaku menghadap siaran iklan di televisyen.

Ibunya mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan anaknya.

Selepas puas melayari Internet, akhirnya ibunya merumuskan anaknya itu menghidap autisme.

Meskipun sudah berdekad lamanya autisme dikesan di seluruh dunia, ramai yang masih tidak tahu tentang simptom penyakit tersebut.

Ini bukan satu senario baru kerana masih ramai lagi ibu bapa seperti ibu Wan Mei yang tidak tahu mengenai autisme.

Dalam hal ini, ibu bapa yang diuji dengan anak-anak autisme perlu memastikan masa depan anak-anak mereka terbela.

Ramai ibu bapa yang masih tidak sedar sikap anak-anak mereka.

Ada sesetengah kanak-kanak bermain seperti berada di dalam dunianya sendiri. Ada pula yang mendiamkan diri, cepat mengamuk dan terlalu aktif. Apabila berbual, mata mereka akan menoleh ke arah lain dan bukannya kepada si penutur.

Sekiranya anda mempunyai anak yang bersikap sedemikian, anda perlu sedar ada kemungkinan anak ini menghidap autisme.

Sebenarnya, ada banyak tanda lain yang boleh diperhatikan pada anak-anak autisme ini. Sebab itulah, ibu bapa seharusnya memerhatikan sindrom autisme ini. Sindrom ini akan dibawa sehingga dewasa sekiranya ibu bapa tidak memberikan rawatan awal.

Walaupun sehingga kini punca autisme masih tidak jelas, orang ramai perlu tahu bahawa autisme bukanlah penyakit yang berjangkit.

Menyedari keadaan ini, Drypers dengan kerjasama Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) membuka Pusat Khidmat Setempat NASOM di Setia Alam, Selangor.

Pusat ini berperanan menjalankan proses penilaian autisme termasuk perkhidmatan pemeriksaan, penilaian dan diagnosis untuk pelbagai kategori penyakit autisme bagi kanak-kanak.

Masa hadapan

Menurut Setiausaha Lembaga Pengarah Pengurusan NASOM, Cason Ong, dengan setiap satu daripada 88 kanak-kanak yang dilahirkan mengalami autisme, adalah penting agar ibu bapa diberikan maklumat jelas tentang autisme.

“Maklumat ini membolehkan mereka membuat diagnosis, penilaian serta mengambil tindakan tepat seawal yang mungkin, agar anak-anak mereka dapat menjalani kehidupan yang hampir normal pada masa hadapan.

“Pada peringkat inilah penilaian awal amat penting bagi memastikan bahawa mereka mendapat sokongan yang sewajarnya,” ujarnya pada majlis pelancaran pusat tersebut baru-baru ini.

Dalam pada itu, Pengurus Kanan Pemasaran SCA Hygiene Malaysia, Evelyn Chan berkata, Drypers berhasrat melibatkan serta memberi inspirasi kepada ibu bapa melalui pelbagai kaedah lain yang melangkaui hanya sekadar pemakaian lampin.

“Kami percaya bahawa kami berada pada kedudukan yang membolehkan kami menghulurkan bantuan kepada NASOM untuk meningkatkan kesedaran mengenai penyakit ini. Selain itu, kami berharap pusat ini dapat menjadi platform membantu mengetengahkan bakat kanak-kanak autisme. Ini penting untuk memberi mereka harapan hidup seperti kanak-kanak normal lain,” ujarnya.

Drypers turut melancarkan mural dinding yang dipenuhi dengan ucapan selamat dan mesej berinspirasi yang mempamerkan sokongan sepenuh hati kepada semua pengunjung ke pusat tersebut. Luahan tersebut diambil daripada ahli Facebook Drypers dan orang awam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121230/ke_04/Pusat-kreatif-anak-autisme#ixzz2GmAH2gL7
© Utusan Melayu (M) Bhd