Bantuan persekolahan berakhir 15 Februari

4 Januari 2013, Jumaat

HULU TERENGGANU 3 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan supaya bantuan persekolahan RM100 yang disalurkan mulai 15 Januari ini mesti selesai diagihkan pada 15 Februari depan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mahu supaya saluran bantuan persekolah tersebut diselesaikan dalam tempoh itu bagi memberi laluan kepada pembayaran Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) seperti mana dijanjikan oleh kerajaan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat mengenai perkara itu yang dipengerusikan oleh Muhyiddin semalam.

“Semalam dalam keputusan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran bahawa bayaran (RM100) mesti habis pada bulan Februari.

“Ini bermakna, bermula 15 Januari mesti tamat pembayaran tersebut sehingga 15 Februari sebelum bayaran BR1M dibuat,” katanya kepada pemberita selepas melawat tiga buah sekolah yang dilanda banjir dan tanah runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Tengku Ampuan Intan di sini hari ini.

Beliau mengulas lanjut mengenai bayaran persekolah RM100 untuk setiap pelajar itu yang akan mula dilaksanakan pertengahan bulan ini.

Menurut Mohd. Puad, bayaran itu akan tetap dilaksanakan mulai tarikh tersebut meskipun ada mana-mana sekolah yang dilanda banjir terutama di Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130104/dn_09/Bantuan-persekolahan-berakhir–15-Februari#ixzz2GxYmgjG5
© Utusan Melayu (M) Bhd