2013, Rencana

Belajar awal untuk cemerlang

SESI persekolahan tahun 2013 sudah pun bermula. Ada yang baru memasuki alam persekolahan, ada yang mula melangkah ke sekolah menengah iaitu Tingkatan 1, ada pula yang memulakan pengalaman baru berada di sekolah berasrama dan terpisah dengan kedua ibu bapa. Anak-anak ini akan mula menyesuaikan diri setelah bersekolah beberapa minggu. Ada pula pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan ini pelajar perlu bersedia awal. Kegagalan belajar awal akan mengundang tekanan yang tidak perlu apabila peperiksaan semakin hampir pada suku ketiga 2013 ini.

Berikut adalah beberapa tip bagi para pelajar yang mahu belajar awal:

Ada pelajar yang memberi alasan tidak suka belajar awal kerana apa yang dibaca dan diulang kaji itu akan lupa dan akhirnya terpaksa dibaca semula ketika menjelangnya peperiksaan. Ini adalah salah faham tentang konsep belajar awal. Belajar awal bukan semestinya mengingati semua apa yang dipelajari. Sebaliknya, belajar awal bertujuan menguasai mata pelajaran dan memahaminya. Kalau lupa sekali pun tidak mengapa sebab pelajar masih punya masa yang panjang untuk mengingatinya. Setelah berulang kali membaca, secara tidak langsung maklumat dan fakta-fakta itu akan tersimpan dalam memori jangka panjang. Yang penting mesti faham dahulu apa yang dipelajari.

Apabila belajar awal, setiap perkara yang tidak faham atau keliru perlu disenaraikan dan diselesaikan segera. Kesilapan utama para pelajar apabila guru mengajar dan mereka tidak faham, maka mereka tidak membuat catatan berkaitan perkara yang tidak difahami itu. Biasanya pelajar hanya mencatat apa yang mereka faham dan menyalin apa yang guru tulis atau paparkan di hadapan. Perkara yang mereka tidak faham dibiarkan sahaja.

Memang ada pelajar yang bertanya tetapi tidak semua perkara sempat ditanya. Malah ramai pula pelajar yang malu bertanya. Akhirnya, perkara yang tidak faham semakin hari semakin banyak hingga akhirnya membuatkan mereka rasa sesuatu subjek itu susah. Kesannya, markah ujian bulanan tidak memuaskan dan ini memperkukuhkan lagi kepercayaan bahawa dia tidak mampu menguasai subjek tersebut atau subjek itu susah. Sedangkan jika dari hari pertama dia senaraikan apa yang dia tidak faham dan selesaikan segera maka masalah sebegini tidak akan berlaku.

Belajar awal bertujuan menyediakan nota ringkas, peta minda, peta konsep, kad imbasan dan seumpamanya sebagai persediaan mengulang kaji apabila tibanya musim peperiksaan. Kesilapan ramai pelajar ialah menyediakan nota-nota ketika menjelang peperiksaan sedangkan nota-nota ini sepatutnya daripada awal lagi sudah disediakan. Apabila peperiksaan semakin hampir masa begitu berharga dan bermakna. Ketika itu fokus utama belajar ialah memastikan semua fakta penting telah dihafal, teknik dan format menjawab soalan diketahui, serta apa yang telah dibaca dapat dikeluarkan semula dengan pantas dan menepati kehendak soalan. Ini bukan masa menyediakan nota. Oleh itu, manfaatkan masa di awal tahun sebegini bagi menyediakan nota-nota peperiksaan.

Belajar awal untuk belajar secara berkumpulan dan melakukan perbincangan. Sepanjang belajar berkumpulan itu tumpukan kepada penyelesaian masalah bukannya sekadar mengulangi apa yang telah diajarkan oleh guru dalam kelas. Caranya ialah setiap pelajar yang terlibat dalam kumpulan dimaklumkan awal topik atau bab yang mahu dibincangkan dan diminta membacanya dahulu dan menyenaraikan setiap perkara yang mereka tidak tahu atau tidak faham.

Pada hari perbincangan, secara bergilir-gilir setiap pelajar melontarkan permasalahan dalam topik atau bab tersebut dan rakan-rakan yang lain membantu memberikannya kefahaman dan menyelesaikannya. Dengan cara itu masalah selesai dan semua berpuas hati. Jika semua orang tidak tahu penyelesaiannya maka buatlah temu janji untuk sama-sama berjumpa guru dan minta bantuan atau penjelasan. Sebaliknya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, pelajar lebih perlukan masa belajar secara sendirian bagi menghabiskan jadual ulang kaji.

Belajar awal memberikan pelajar ruang dan masa yang banyak bagi melibatkan diri dalam aktiviti persatuan dan kokurikulum. Disebabkan pelajar belajar secara konsisten maka fikiran mereka tidak terganggu dan mereka juga tidak dihantui dengan rasa bersalah apabila aktif dengan pelbagai aktiviti di sekolah. Ini membuatkan pelajar cemerlang dalam semua bidang dan berpeluang menjadi tokoh pelajar di penghujung tahun nanti.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130106/pe_01/Belajar-awal-untuk-cemerlang#ixzz2HqINsZ1y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Advertisements
2013, Belanjawan

Bantuan awal persekolahan diagih

Kementerian Pelajaran akan mula mengagihkan wang bantuan khas awal persekolahan sebanyak RM100 kepada 10,019 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara secara berperingkat bermula 15 Januari depan.

Bahagian Pengurusan Maklumat kementerian itu memaklumkan, kaedah penyaluran bayaran dibuat ke akaun Kumpulan Wang Kerajaan (KWK) sekolah atau akaun khas Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) bagi sekolah yang tidak mempunyai akaun bank.

Menurut kenyataan tersebut, mana-mana sekolah yang menerima kurang peruntukan, perlu membuat permohonan tambahan peruntukan beserta penyata bank sekolah dan jumlah yang diperlukan kepada Bahagian Kewangan kementerian secepat mungkin.

Kementerian Pelajaran turut menegaskan bahawa sebarang pemotongan bantuan tersebut sama sekali tidak dibenarkan.

”Tarikh pemulangan lebihan peruntukan juga ditetapkan selewat-lewatnya pada 31 Mac 2013 kepada mana-mana sekolah yang menerima lebihan peruntukkan bantuan tersebut,” kata kenyataan itu.

Di bawah Bajet 2013 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak September lalu telah meluluskan peruntukkan RM540 juta bagi pemberian Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 bagi sesi persekolahan tahun 2013.

Bantuan ini bertujuan meringankan beban perbelanjaan persekolahan pada awal tahun yang ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.

Murid atau pelajar yang layak menerima bantuan tersebut mesti berstatus warganegara Malaysia, bersekolah kerajaan dan sekolah bantuan, murid Tahun 1 hingga Tingkatan 5 atau setaraf dengannya bagi persekolahan tahun 2013.

Pada masa yang sama, kenyataan tersebut turut meminta setiap Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Daerah memaklumkan kepada sekolah mengenai pelaksanaan bantuan antaranya termasuklah melalui surat siaran, garis panduan dan pemantauan bagi memastikan pelaksanaan pembayaran bantuan mengikut prosedur dan peraturan kewangan.

Pihak terlibat perlu melaporkan rumusan agihan Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100 kepada kementerian selewat-lewatnya pada 28 Februari depan mengikut format yang ditetapkan.

Selain JPN dan daerah, pihak sekolah juga tidak terkecuali berperanan dalam perkara itu antaranya termasuklah memastikan murid yang layak menerima bantuan, menyemak dan merekod peruntukan yang diterima ke dalam Buku Tunai KWK, dan mengeluarkan resit rasmi pejabat apabila peruntukan telah sah dimasukkan ke dalam akaun KWK.

Sekolah juga perlu mengeluarkan wang bantuan daripada bank dan mengagihkan secara tunai kepada ibu bapa atau penjaga murid dalam tempoh 14 hari bekerja daripada tarikh bantuan diterima.

Pihak sekolah juga perlu memastikan ibu bapa atau penjaga menurunkan tanda tangan ke atas Senarai Akuan Penerimaan atau Penolakan Bantuan dengan disaksikan dua guru sebagai saksi.

Sekolah yang telah membuat agihan bantuan ini kepada murid yang akan berpindah sekolah perlu meletakkan cop ‘telah bayar’ bantuan khas RM100 pada borang perpindahan sekolah murid bagi mengelakkan berlakunya pertindihan agihan bantuan berkenaan di sekolah baharu nanti.

Bagi memastikan tidak ada murid yang tercicir daripada menerima bantuan tersebut, sekolah diminta mendahulukan peruntukkan sedia ada sekolah seperti wang SUWA atau lain-lain peruntukan sekiranya peruntukkan asal tidak mencukupi.

Pengetua atau guru besar dinasihatkan memohon secara rasmi perkhidmatan polis pengiring daripada Ketua Polis di negeri masing-masing dalam urusan pengeluaran wang melebihi jumlah RM10,000.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121217/pe_01/Bantuan-awal-persekolahan-diagih#ixzz2HqHfFIsi
© Utusan Melayu (M) Bhd

2013

Guru terima anugerah Pendidik Global Microsoft

GURU Kolej Tun Datu Tuanku Haji Bujang, Zamimah Azaman mencipta sejarahnya tersendiri apabila terpilih menerima anugerah Pendidik Global Microsoft yang merupakan kemuncak penganjuran Microsoft Partners In Learning Global Forum 2012 di Istana Prague, Republik Czech baru-baru ini.

Pendidik daripada sekolah di Miri, Sarawak itu dipilih sebagai naib johan kategori Pembinaan Pengetahuan dan Pemikiran Kritikal (Knowledge Construction and Critical Thinking) melalui projek inovatif ‘The Journalist’ yang dihasilkan berasaskan projek serta simulasi bagi meningkatkan kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis para pelajarnya.

“Projek ini menggunakan pendekatan pembelajaran berasaskan projek melalui empat elemen utama iaitu instrumen pementasan, pembelajaran secara bersendirian, pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara usaha sama, serta bidang teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk memaksimumkan pembelajaran pelajar serta meningkatkan pemikiran kreatif dan kritikal mereka.

“Menerusi aktiviti pembelajaran yang menyeronokkan dan penuh makna, ‘The Journalist’ juga bertujuan memperkaya nilai-nilai kemanusiaan di kalangan pelajar sebagai pemimpin masa depan dunia,” katanya ceria.

Kejayaan Zamimah di peringkat dunia menewaskan lebih daripada 250,000 guru merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan negara.

‘‘Keutamaan projek ini adalah untuk memastikan bahawa kerja yang dibuat mempunyai impak di luar kelas dan menyediakan pelajar untuk peringkat pengajian yang seterusnya dalam hidup mereka,” ujarnya.

Microsoft Partners In Learning Global Forum mengiktiraf 21 pendidik dari seluruh dunia yang berjaya mengadaptasi kegunaan teknologi secara inovatif di dalam bilik darjah.

Forum itu dihadiri lebih 500 orang guru, pemimpin sekolah dan pemimpin pendidik serta pegawai kerajaan mewakili 80 negara.

Penubuhannya sejak 15 tahun lalu itu bertujuan membantu sistem pendidikan seluruh dunia melalui komunikasi dua hala antara pendidik dan pemimpin sekolah, mengenal pasti potensi pelajar merangkumi penglibatan lebih 210 juta guru dan pelajar di 119 negara.

Sementara itu, Pengarah Urusan Microsoft Malaysia, Carlos Lacerda berkata, generasi pemimpin negara pada masa depan tidak boleh dididik dengan peralatan teknologi lama atau amalan pendidikan yang ‘usang’.

‘‘Kita harus terus membangunkan persekitaran pembelajaran yang canggih dan maju untuk menghasilkan pemimpin-pemimpin Malaysia pada masa depan yang lebih baik,” katanya.

Semua pemenang Anugerah Pendidik Forum Global secara automatik dimasukkan ke dalam program baharu Microsoft Innovative Educator Expert.

Program itu diwujudkan untuk mengiktiraf golongan pendidik seluruh dunia menggunakan teknologi bagi meningkatkan tahap pendidikan mereka.

Hal ini bermakna Zamimah layak sebagai seorang Microsoft Innovative Educator Expert dan rakan kongsi Microsoft dalam pelbagai aktiviti pendidikan sepanjang tahun.

Kemudahan ini akan membolehkan Zamimah mengakses kepada perisian produk terkini daripada Microsoft.

Pada masa yang sama, Microsoft akan memastikan bahawa kumpulan tersebut mendapat peluang pembangunan profesional dan kerjaya untuk membantu mereka mempertingkat impak kepada pelajar masing-masing.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20121217/pe_02/Guru-terima-anugerah-Pendidik-Global-Microsoft#ixzz2HqGZPyjR
© Utusan Melayu (M) Bhd

2013, Program

Pendidikan Orang Asli janji ditepati

Kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran sentiasa berusaha meningkatkan kualiti pendidikan demi memastikan tiada golongan yang tercicir dalam arus pembangunan negara dan sejajar dengan hasrat itu, Pelan Transformasi Pendidikan Orang Asli yang komprehensif disediakan sebagai salah satu program memperkasakan pencapaian masyarakat Orang Asli seiring dengan kemajuan negara.
Tujuh teras utama dikenal pasti sebagai peng upaya kualiti pendidikan Orang Asli antaranya yang paling utama meningkatkan prestasi sekolah Orang Asli, meningkatkan pengambilan kemasukan anak Orang Asli dalam program khas perguruan, memperkasa Pusat Kecemerlangan Pedagogi Pribumi Kebangsaan dan menambah bilangan Sekolah Model Khas Komprehensif K9.

Secara umumnya, 60.9 peratus murid-murid Orang Asli yang menduduki UPSR telah lulus semua mata pelajaran manakala 87.9 peratus lulus semua mata pelajaran dalam PMR tahun 2011 namun kita masih berdepan cabaran memastikan murid-murid Orang Asli meneruskan pelajaran dan usaha Transformasi Pendidikan Orang Asli terlaksana bagi memperkasa masyarakat Orang Asli di Malaysia.

Ikuti laporan wartawan Utusan Malaysia NORIZAN ABDUL MUHID mengenai perkembangan pendidikan Orang Asli di Tasik Chini, Pahang.

Sekiranya anda beranggapan taraf kehidupan kaum pribumi atau Orang Asli di negara ini masih mundur seperti lima atau 10 tahun lalu dan tiada kemajuan maka anda wajar membetulkan persepsi tersebut dengan melihat sendiri perubahan yang sedang berlaku dalam kalangan golongan itu hari ini.

Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran sejak sedekad lalu sentiasa menetapkan komitmen mahu merapatkan jurang pendidikan, tahap sosioekonomi dan keupayaan murid Orang Asli agar golongan itu mempunyai peluang dan keupayaan sama iaitu untuk cemerlang sama ada mereka tinggal di bandar, luar bandar atau pedalaman.

Selaras dengan itu, diperkenalkan Pelan Transformasi Pendidikan Orang Asli (PTPOA) yang menetapkan pencapaian golongan terbabit dalam tempoh lima tahun dari 2013 hingga 2017 dengan menekankan objektif memperkasa kemajuan Orang Asli seiring dengan kemajuan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Namun, tanpa perlu menunggu masa lima tahun itu, sebahagian daripada rancangan tersebut berjaya dicapai dan pencapaian tersebut dibuktikan oleh Sekolah Kebangsaan (SK) Tasik Chini pada keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) lalu.

Buat pertama kalinya, sekolah di Pahang itu mencipta sejarahnya tersendiri apabila murid perempuan Melayu yang baharu berpindah ke SK Tasik Chini dari sekolah kebangsaan berhampiran mencapai keputusan 5A manakala rakannya murid Orang Asli Jakun mendapat 4A 1B.

Keputusan itu melonjakkan nama SK Tasik Chini di peringkat kebangsaan untuk muncul sebagai sekolah Orang Asli paling cemerlang dengan menduduki tangga ke-120 daripada keseluruhan 430 sekolah Orang Asli dan sekolah kebangsaan yang terdapat di Pahang.

Dari segi kedudukan di peringkat kebangsaan, pada tahun 2011, SK Tasik Chini menduduki `BAND 2’ (tahap pencapaian pendidikan dan pengurusan sekolah terbaik kementerian) iaitu menduduki tempat ke-987 daripada keseluruhan 7,674 buah sekolah rendah di seluruh negara.

Berbanding kedudukannya sebelum ini, pada tahun 2010 SK Tasik Chini berada pada `BAND 4’ iaitu tempat ke-5,841 dan `BAND 5’ iaitu tempat ke-6,906 pada tahun 2009.

Pencapaian UPSR SK Tasik Chini sepanjang lima tahun lalu didapati meningkat dengan cemerlang bermula pada tahun 2008 lalu seramai 12 murid sekolah itu menduduki UPSR dan hanya empat murid yang lulus peperiksaan tersebut.

Bilangan calon yang mengambil peperiksaan itu bagaimanapun menurun tahun 2009 dengan hanya lima calon dan empat daripadanya gagal, tahun berikutnya, jumlah kembali bertambah kepada 12 orang manakala dua murid gagal.

Tahun 2011, pencapaian SK Tasik Chini mula menampakkan perubahan lebih baik apabila kesemua enam calon sekolah itu lulus UPSR sekali gus menjadikan keputusan UPSR 100 peratus dicapai di sekolah tersebut.

Jika dilihat dari segi peratus kehadiran murid Orang Asli Sk Tasik Chini sepanjang lima tahun itu, bilangan kehadiran murid terus meningkat daripada 98 murid pada tahun 2008, meningkat kepada 112 murid dan yang terbaru seramai 108 murid.

Menurut Guru Besar sekolah itu yang juga berketurunan Orang Asli Jakun, Akit Huat, 54, pencapaian tersebut bukan diperoleh dengan mudah terutama untuk mengubah minda dan pemikiran kaumnya agar menerima kepentingan pendidikan bagi mengubah masa depan mereka ke tahap lebih baik.

Katanya, keputusan 100 peratus yang dicapai murid sekolah itu pada UPSR bermula 2011 membuktikan kaum Orang Asli boleh berjaya dengan lebih cemerlang sekiranya golongan ini diberi peluang dan bimbingan sewajarnya.

Menurut beliau, pihaknya mempunyai `senjata’ khas yang dipraktikkan bagi meningkatkan pencapaian akademik sekolah itu antaranya termasuklah mengerakkan 13 program UPSR tahun lalu termasuk tiga program khas bagi meningkatkan kehadiran murid Orang Asli ke sekolah di bawah Jejak Warisan iaitu Jom Ke Sekolah, Ops Ponteng dan Mengesan Jejak.

“Di bawah program UPSR iaitu Biar Putih Tulang, kita menyediakan kelas tambahan bagi mata pelajaran Sains, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu termasuk program mentor mentee antara guru serta murid.

“Kelas tambahan juga digerakkan sepanjang cuti umum Tahun Baru Cina lalu melalui program Seiring Sejalan, kem motivasi Fikirkan Boleh, kelas malam dan bengkel menjawab soalan serta Kau Ilhamku melibatkan penyertaan ibu bapa murid Orang Asli,’’ katanya ketika ditemui di SK Tasik Chini baru-baru ini.

Selain itu katanya, program `Bawalah Daku Bersamamu’ memfokuskan murid kurang berkemampuan dan lemah penguasaan mata pelajaran tertentu yang tinggal di pulau-pulau kecil berhampiran Tasik Chini.

“Mereka ini akan dibawa tinggal d rumah guru atau mentor mereka pada Isnin hingga Jumaat dan dibenarkan pulang ke rumah ibu bapa masing-masing pada Sabtu dan Ahad. Ibu bapa dilihat tiada halangan dan memberikan kerjasama penuh kepada sekolah,’ katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130114/pe_01/Pendidikan-Orang-Asli-janji-ditepati#ixzz2HqFUkPUD
© Utusan Melayu (M) Bhd

2013

Pelajar MRSM tingkat penguasaan bahasa Inggeris

SEBANYAK 40 pelajar tingkatan empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kula Krai, Kelantan berjaya meningkatkan tahap kefasihan bahasa Inggeris mereka selepas mengikuti Certified Intensive English Programme (CIEP) yang ditaja dan dikendalikan oleh Pusat Bahasa ELS (ELS MALaysia) di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Pengarah Akademik ELS Malaysia, Yvonne Gruberksa berkata, peningkatan penguasaan bahasa Inggeris pelajar ini melalui program yang diadakan diharap dapat memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing secara kompetitif apabila melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi sama ada di dalam atau di luar negara.

“Semoga akan ada lebih banyak peluang untuk kami bekerja sama dengan komuniti bagi membangunkan kemahiran modal insan agar mereka boleh mengecapi kejayaan pada masa depan,” katanya selepas majlis graduasi dan penyerahan sijil CIEP kepada pelajar terbabit.

Sijil CIEP diiktiraf dan diperakui oleh banyak universiti dan kolej di seluruh dunia sebagai syarat kemasukan sama seperti TOEFL dan IELTS.

Pada awal tahun lalu, Universiti Putra Malaysia telah mengiktiraf CIEP sebagai bukti kefasihan berbahasa Inggeris untuk kemasukan ke institusi itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Sekolah Menengah Mara, Mohd. Amin Din menjelaskan, program CIEP telah membuka mata dan minda pelajar tentang kepentingan bahasa Inggeris untuk kelangsungan hidup di dunia global masa kini.

“Melalui program ini, terbukti para pelajar telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dalam kemahiran komunikasi bahasa Inggeris mereka dan juga dari segi keyakinan diri,” tambahnya.

Sementara itu, pelajar yang mengikuti program CIEP, Nur Syazwani Roslan, 16, memberitahu, belajar bahasa Inggeris di ELS Malaysia sangat mengujakan kerana cara pengajaran yang menarik dan menyeronokkan.

“Saya tertarik dengan kaedah pengajaran guru dan kemudahan lengkap yang ada di pusat bahasa ini,” ujarnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130107/pe_01/Pelajar-MRSM-tingkat-penguasaan-bahasa-Inggeris#ixzz2Hq7BYn1E
© Utusan Melayu (M) Bhd