Belajar awal untuk cemerlang

SESI persekolahan tahun 2013 sudah pun bermula. Ada yang baru memasuki alam persekolahan, ada yang mula melangkah ke sekolah menengah iaitu Tingkatan 1, ada pula yang memulakan pengalaman baru berada di sekolah berasrama dan terpisah dengan kedua ibu bapa. Anak-anak ini akan mula menyesuaikan diri setelah bersekolah beberapa minggu. Ada pula pelajar yang bakal menduduki peperiksaan besar sama ada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Bagi mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan ini pelajar perlu bersedia awal. Kegagalan belajar awal akan mengundang tekanan yang tidak perlu apabila peperiksaan semakin hampir pada suku ketiga 2013 ini.

Berikut adalah beberapa tip bagi para pelajar yang mahu belajar awal:

Ada pelajar yang memberi alasan tidak suka belajar awal kerana apa yang dibaca dan diulang kaji itu akan lupa dan akhirnya terpaksa dibaca semula ketika menjelangnya peperiksaan. Ini adalah salah faham tentang konsep belajar awal. Belajar awal bukan semestinya mengingati semua apa yang dipelajari. Sebaliknya, belajar awal bertujuan menguasai mata pelajaran dan memahaminya. Kalau lupa sekali pun tidak mengapa sebab pelajar masih punya masa yang panjang untuk mengingatinya. Setelah berulang kali membaca, secara tidak langsung maklumat dan fakta-fakta itu akan tersimpan dalam memori jangka panjang. Yang penting mesti faham dahulu apa yang dipelajari.

Apabila belajar awal, setiap perkara yang tidak faham atau keliru perlu disenaraikan dan diselesaikan segera. Kesilapan utama para pelajar apabila guru mengajar dan mereka tidak faham, maka mereka tidak membuat catatan berkaitan perkara yang tidak difahami itu. Biasanya pelajar hanya mencatat apa yang mereka faham dan menyalin apa yang guru tulis atau paparkan di hadapan. Perkara yang mereka tidak faham dibiarkan sahaja.

Memang ada pelajar yang bertanya tetapi tidak semua perkara sempat ditanya. Malah ramai pula pelajar yang malu bertanya. Akhirnya, perkara yang tidak faham semakin hari semakin banyak hingga akhirnya membuatkan mereka rasa sesuatu subjek itu susah. Kesannya, markah ujian bulanan tidak memuaskan dan ini memperkukuhkan lagi kepercayaan bahawa dia tidak mampu menguasai subjek tersebut atau subjek itu susah. Sedangkan jika dari hari pertama dia senaraikan apa yang dia tidak faham dan selesaikan segera maka masalah sebegini tidak akan berlaku.

Belajar awal bertujuan menyediakan nota ringkas, peta minda, peta konsep, kad imbasan dan seumpamanya sebagai persediaan mengulang kaji apabila tibanya musim peperiksaan. Kesilapan ramai pelajar ialah menyediakan nota-nota ketika menjelang peperiksaan sedangkan nota-nota ini sepatutnya daripada awal lagi sudah disediakan. Apabila peperiksaan semakin hampir masa begitu berharga dan bermakna. Ketika itu fokus utama belajar ialah memastikan semua fakta penting telah dihafal, teknik dan format menjawab soalan diketahui, serta apa yang telah dibaca dapat dikeluarkan semula dengan pantas dan menepati kehendak soalan. Ini bukan masa menyediakan nota. Oleh itu, manfaatkan masa di awal tahun sebegini bagi menyediakan nota-nota peperiksaan.

Belajar awal untuk belajar secara berkumpulan dan melakukan perbincangan. Sepanjang belajar berkumpulan itu tumpukan kepada penyelesaian masalah bukannya sekadar mengulangi apa yang telah diajarkan oleh guru dalam kelas. Caranya ialah setiap pelajar yang terlibat dalam kumpulan dimaklumkan awal topik atau bab yang mahu dibincangkan dan diminta membacanya dahulu dan menyenaraikan setiap perkara yang mereka tidak tahu atau tidak faham.

Pada hari perbincangan, secara bergilir-gilir setiap pelajar melontarkan permasalahan dalam topik atau bab tersebut dan rakan-rakan yang lain membantu memberikannya kefahaman dan menyelesaikannya. Dengan cara itu masalah selesai dan semua berpuas hati. Jika semua orang tidak tahu penyelesaiannya maka buatlah temu janji untuk sama-sama berjumpa guru dan minta bantuan atau penjelasan. Sebaliknya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, pelajar lebih perlukan masa belajar secara sendirian bagi menghabiskan jadual ulang kaji.

Belajar awal memberikan pelajar ruang dan masa yang banyak bagi melibatkan diri dalam aktiviti persatuan dan kokurikulum. Disebabkan pelajar belajar secara konsisten maka fikiran mereka tidak terganggu dan mereka juga tidak dihantui dengan rasa bersalah apabila aktif dengan pelbagai aktiviti di sekolah. Ini membuatkan pelajar cemerlang dalam semua bidang dan berpeluang menjadi tokoh pelajar di penghujung tahun nanti.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130106/pe_01/Belajar-awal-untuk-cemerlang#ixzz2HqINsZ1y
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s