SBT tingkat mutu pendidikan negara

Kuala Lumpur: Penubuhan 91 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dalam tempoh tiga tahun sejak 2010 menjadi platform kepada negara memperkasa kebolehan pelajar sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu pendidikan di sekolah.

Pada masa sama, Kementerian Pelajaran menyasarkan penubuhan 19 lagi SBT pada tahun ini yang akan melonjakkan mutu pendidikan sekolah rendah dan menengah.
Ketua Penolong Pengarah, Sektor Pengurusan dan Perhubungan Sekolah Berprestasi Tinggi, Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Kementerian Pelajaran, Faridah Yang Razali, berkata fokus utama SBT bukan saja untuk pelajar mempunyai pengetahuan akademik cemerlang, bahkan turut menguasai kemahiran berfikir secara kritis, kreatif dan inovatif.

Pelajar serba boleh

Katanya, ia juga sebagai elemen membentuk kemahiran memimpin, kemahiran dalam bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris, sahsiah dan nilai serta semangat identiti nasional yang kuat.

“Pemilihan SBT melalui tiga proses saringan yang ketat oleh Kementerian Pelajaran (KPM). Sekolah bukan sahaja perlu cemerlang dalam akademik, tetapi perlu ada pencapaian dalam bidang kokurikulum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta mempunyai jaringan dan jalinan kukuh dengan institusi pendidikan atau agensi kerajaan dan bukan kerajaan dan menjadi penandaarasan dari dalam dan luar negara.

“Calon juga dinilai dari segi pengurusan kewangan yang baik sebagai prasyarat. Penilaian ke atas calon dilaksanakan oleh Jemaah Nazir dan Jaminan kualiti bagi memastikan sekolah benar-benar layak berdasarkan dokumentasi atau bukti yang dikemukakan,” katanya.
Faridah berkata, pemberian SBT bukan saja menumpukan kepada usaha menaikkan mutu kecemerlangan di sekolah itu saja, sebaliknya bertindak sebagai mentor kepada sekolah berhampiran di kawasannya.

Beri peruntukan khas

Katanya, peruntukan khas RM700,000 diperoleh selepas berstatus SBT bagi tahun pertama sebelum jumlah berikutnya, RM500,000 (tahun kedua) serta RM300,000 bagi tahun ketiga dan seterusnya.

“Kita menetapkan empat kriteria kepada sekolah dalam menggunakan peruntukan disalurkan meliputi pembangunan modal insan, pengantarabangsaan, penyelenggaraan dan ubah suai kecil serta harta modal.

“Walaupun ada syarat dari segi cara penggunaan (peruntukan), namun kementerian secara dasarnya tetap memberi kuasa autonomi kepada sekolah merancang apa juga program asalkan ia memfokuskan kepada meningkatkan kecemerlangan sekolah,” katanya.

Kemudahan lain dinikmati SBT termasuk kursus dan latihan khas diberi kepada warga pendidiknya termasuk pengetua.

Ditanya mengenai pencapaian SBT berbanding sekolah lain, Faridah berkata, beberapa aspek dilihat termasuk dari segi pencapaian akademik pelajar serta daya kreativiti, karismatik, kebolehan memimpin dan komunikasi yang meningkat.

Dari segi prasarana sekolah katanya, penggunaan alat bantuan mengajar lebih menarik selain penggunaan teknologi dan kelengkapan makmal yang lebih moden.

Sehingga kini, katanya Johor adalah negeri paling banyak SBT iaitu 13 diikuti Selangor (10), Terengganu (9), Kedah (9), Kuala Lumpur (8) serta 7 di Pahang dan Pulau Pinang, manakala selebihnya di negeri lain.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s