Teruja perpustakaan ‘manusia’

Bayangkan kalau sebelum ini membaca tentang kisah seorang pengembara menerusi catatan beliau tapi kini anda berpeluang bertanya terus pengalaman tersebut dan mendapat jawapannya serta merta dalam suasana penuh santai dan telus.

Lebih menarik anda dapat menyelami hati dan nada suara si pencerita yang pastinya akan memberikan lebih impak berbanding pembacaan sahaja.

Idea tercetusnya Human Library yang pertama ialah pada tahun 2000 di Denmark oleh sekumpulan belia daripada pertubuhan Stop The Violence.

Tujuan mereka sungguh murni iaitu mahu mengurangkan isu perkauman dan keganasan di kalangan belia di Denmark.

Konsep Human Library ini kemudian telah berkembang ke lebih daripada 30 negara di seluruh dunia dan terus meningkat tahun demi tahun.

Idea untuk memperkenalkan Human Library di Malaysia dicetuskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Scope Group, Christoffer Erichsen, yang juga merupakan salah seorang pengasas Human Library di Denmark.

“Perancangan projek ini telah bermula sejak tahun 2011 lagi ketika kami meninjau jenis buku untuk disertakan serta maklum balas daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan kerajaan yang relevan.

“Kami menyedari bahawa masih banyak yang perlu dilakukan dalam usaha untuk menangani isu-isu yang dihadapi oleh masyarakat yang terpinggir (marginalised population) di komuniti, seperti stigma, diskriminasi dan sebagainya,” ujar Erichsen.

Projek perintis Human Library telah diadakan sempena Persidangan Women Deliver 2013 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.

Pihak KLCC dan Women Deliver 2013 berbesar hati memberi ruang kepada penganjuran julung kali Human Library di Malaysia.

Sama seperti meminjam buku di perpustakaan

Proses Human Library ini sama seperti proses meminjam buku di perpustakaan biasa, di mana pembaca akan mendaftar nama dan kemudian diberikan kad perpustakaan.

Melalui kad ini, pembaca kemudiannya akan dibantu oleh pustakawan untuk bertemu dengan ‘buku manusia’ (human book) yang menjadi pilihan pembaca.

“Pembaca dan human book kemudian diberi masa 15-20 minit untuk berdialog dan ini adalah kaedah ‘membaca’ di Human Library.

“Ketika sesi ‘bacaan’ ini, pembaca akan mendapat peluang untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang human book berkenaan – seolah-olah membaca sebuah buku, tetapi pembaca berpeluang untuk ‘membaca’ manusia yang mewakili tajuk-tajuk buku yang menarik.

” ‘Buku-buku’ ini dijemput melalui rakan NGO dan rangkaian kami, dan mereka mewakili golongan yang dianggap tersisih daripada masyarakat umum disebabkan penyakit, keadaan hidup mahupun pekerjaan,” jelas Erichsen lagi.

Objektif Human Library adalah untuk menggalakkan dialog, mengurangkan prejudis dan meningkatkan toleransi sesama manusia.

Ia juga satu platform untuk memberikan ruang kepada kumpulan masyarakat yang terpinggir daripada pelbagai latar belakang.

“Platform ini mengiktiraf kepelbagaian, membina persefahaman, merapatkan jurang dan mewujudkan perpaduan sesama manusia.

“Untuk Human Library yang pertama ini, sebanyak 12 jenis ‘buku’ telah kami tawarkan, antaranya, The Transwoman, The Lady with The Veil, The Muslim Feminist, The Person living with HIV, The Sex Worker, The Single Mother, The Young Entrepreneur, The African Student, The Arab, The Civil Engineer, The Teenager dan The People Champion.

“Sesiapa sahaja boleh meminjam dan membaca ‘buku-buku’ tersebut. Human Library juga terbuka kepada semua ahli masyarakat yang berminat.

“Berdasarkan pengalaman penganjuran di KLCC, apa yang dapat dilihat tentang sambutan yang diterima memang sangat menggalakkan.

“Dalam tempoh empat jam acara berlangsung, seramai 90 pembaca telah mengambil bahagian dan membaca ‘buku-buku’ di Human Library.

“Ramai yang teruja kerana belum pernah ada acara sebegini di negara ini. Ramai juga yang teruja dan sangat terharu kerana berpeluang untuk bertemu dan berbual dengan ‘buku-buku’ yang sebelum ini mungkin tidak pernah terlintas untuk dikenali.

“Ada juga ‘buku’ yang mengatakan mereka terharu dengan sambutan dan galakan pembaca. Maklum balas yang diterima menunjukkan pembaca dan buku sama-sama mendapat manfaat melalui platform unik ini,” jelas Erichsen.

Erichsen berkata, untuk Human Library pertama ini, pihak Scope Group berkerjasama dengan Chaserz, sebuah organisasi belia, sebagai mentor dalam membantu mereka untuk menjayakan program tersebut.

Mereka juga telah melibatkan sukarelawan di kalangan pelajar universiti untuk membantu dan bertindak sebagai pustakawan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130613/pe_01/Teruja-perpustakaan-manusia#ixzz2W90Nff8g
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s