Formula inklusif bakal ubah Dabong

REPUTASI Dabong dalam lima tahun dijangka berubah daripada kawasan pedalaman kepada maju melalui pelan inklusif seperti penubuhan persatuan anak Dabong, bekerjasama dengan beberapa universiti awam, mewujudkan kelas tingkatan enam dan membina sebuah lagi sekolah menengah.

Selain itu, lebih banyak saluran akan dibuka bagi membolehkan anak Dabong yang mendapat kurang lima kredit dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dapat mengikuti program pradiploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sementara pembangunan fizikal seperti pembinaan jambatan di Kampung Biak akan membolehkan kanak-kanak ke sekolah saban pagi tanpa perlu menaiki sampan.

Ada usaha untuk membina kampus universiti, tetapi masih tertunda kerana isu pemilikan tanah di Kelantan yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Program kajian sosioekonomi penduduk mengikut bidang juga sedang dirancang dengan penglibatan Universiti Malaysia Kelantan (UKM), UiTM dan sebagainya.

Dabong, sebuah kampung tipikal di pedalaman Kelantan – di bahagian selatan jajahan Kuala Krai – 70 kilometer dari Gua Musang dan 40 kilometer dari pekan Kuala Krai. Dari Kota Bharu, lebih kurang 155 kilometer.

Baru-baru ini, berlangsung Program Kecemerlangan Akademik dan Motivasi kelolaan Sekretariat Malaysia Prihatin (SMP) dan Unit Pendidikan Utusan Malaysia, yang mendapat reaksi positif daripada 204 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di daerah Dabong.

Pengerusi Lembaga kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang juga ADUN Dabong, Datuk Ramzi Ab. Rahman hadir dan meninjau sendiri perjalanan program berkenaan yang mendapat sokongan padu Pejabat pendidikan Daerah (PPD) Kuala Krai.

Dalam wawancaranya dengan Utusan Malaysia selepas majlis tersebut, tokoh itu memberitahu, sebuah Majlis Pembangunan Dabong sedang dirancang penubuhannya, bagi membolehkan konsep kerjasama inklusif yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak – dapat dilaksanakan sepenuhnya di kawasan itu.

Melalui segala usaha itu, beliau berharap – secara sedikit demi sedikit – Dabong mula menukar reputasi kawasan pedalaman kepada kawasan maju.

“Usaha ini sebenarnya telah dilakukan sejak 2004 sehingga 2008 ketika saya menjadi wakil rakyat, tetapi kemudian terencat di tangan pembangkang dan berharap dapat melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh selepas ini,” katanya.

Kata Ramzi, ketika beliau menjadi wakil rakyat, usaha memajukan bidang pendidikan telah dimulakan dan digandakan melalui program tuisyen dan motivasi.

Usaha itu membuahkan hasil, kerana pada ketika itu (2006) lima orang calon mendapat 5A.

Kini, momentum kepada usaha itu semakin ketara apabila bilangan yang mendapat 5A bertambah. Tahun lepas bilangannya 15 orang.

“Pada UPSR tahun ini, kita mensasarkan 30 orang akan mendapat 5A dalam UPSR,” katanya.

Beliau juga telah menulis surat kepada kerajaan pusat supaya sebuah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Dabong dibina bagi memudahkan urusan pelajar, guru dan masyarakat setempat bagi hal berkaitan dengan pendidikan.

Sekarang ini, dianggarkan seorang ibu atau bapa membelanjakan sekurang-kurangnya RM100 jika terpaksa berurusan dengan PPD di Kuala Krai – meliputi kos tiket kereta api, bas atau teksi, makan minum dan urusan lain.

“Tambahan pula, sebuah PPD perlu dibina jika kita hendak mewujudkan kelas untuk tingkatan enam,” kata Ramzi.

Kini, Dabong terletak di bawah pengawasan PPD Kuala Krai yang terletak 86 kilometer.

Terdapat kira-kira 100 pelajar tingkatan enam yang sedang belajar di Kuala Krai.

Tambah beliau: “Jarak yang jauh ini (Kuala Krai ke Dabong) boleh mengundang sebarang kemungkinan, paling dikhuatiri ialah gejala sosial.”

Selain itu, pelajar tingkatan enam ini tidak boleh berulang-alik dan terpaksa menyewa bilik di Kuala Krai.

Ditanya sama ada guru perlu diambil untuk mengisi kekosongan guru untuk mengajar tingkatan enam, katanya tenaga pengajar sedia ada sudah memadai.

“Tidak perlu membina bangunan baru untuk pelajar tingkatan enam, cukuplah memperuntukkan sebuah kelas di SMK Dabong,” ujarnya.

Sebuah lagi sekolah menengah juga sedang dirancang pembinaannya, kerana sebuah sekolah menengah yang sedia ada sudah padat dengan bilangan pelajarnya yang mencecah 1,600 orang, menjadikan proses pembelajaran menjadi kurang selesa.

Sebagai maklumat latar belakang, Dabong merupakan kampung tanpa wayar yang pertama, melalui pemasangan peralatan komunikasi oleh Bahagian Teknologi pendidikan (BTP) dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sejak pemasangan Internet tanpa wayar itu, beberapa aktiviti telah dilakukan seperti memudah cara komunikasi video skype antara seorang ibu dengan anaknya yang sedang belajar di United Kingdom.

“Bagaimanapun, sejak kawasan Dabong ini ditadbir oleh wakil rakyat daripada parti yang lain, tiada penyelenggaraan dilakukan dan kemudahan itu sudah tiada sekarang,” katanya.

Selain itu, para pelajar di Dabong juga menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM) dan guru-guru menerima Elaun Sara Hidup (COLA).

Di bawah Yayasan Pendidikan Kesedar, usaha itu terus dilipat- gandakan dan pelbagai usaha pembangunan sahsiah dan akademik digerakkan merentasi Dabong termasuk Sekolah Agama Rakyat dan Negeri – tanpa mengira latar belakang fahaman politik.

Beliau juga memberitahu, terdapat pertambahan bilangan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) baru-baru ini, iaitu daripada 8,000 kepada 10,000, satu manifestasi kepada pertambahan jumlah penduduk dan kesedaran politik penduduk Dabong yang mahu kemajuan.

Menyambut kepercayaan itu, Ramzi berkata, sebuah lagi jambatan baharu bernilai RM23 juta dibina merentasi sungai di Kampung Biak, serta melebarluaskan pemasangan kabel elektrik untuk menerangi kawasan yang gelap gelita pada waktu malam.

Bangunan baru SK Slow Temiang juga dibina yang bernilai RM8.3juta.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130617/pe_01/Formula-inklusif-bakal-ubah-Dabong#ixzz2WQivjC6x
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s