Pengetua, guru besar dimantap

BENTONG 2 Julai – Proses pelantikan pengetua dan guru besar akan dimantapkan mulai tahun depan melalui pelaksanaan Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan (NPQEL) yang dijalankan Institut Aminuddin Baki (IAB), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, perkara itu sejajar dengan anjakan utama untuk mentransformasi Sistem Pendidikan Negara dalam memastikan kepimpinan berprestasi tinggi ditempatkan di setiap sekolah.

Menurutnya, selain NPQEL, penilaian bagi sesuatu pelantikan akan dibuat berdasarkan kemampuan bakal pengetua dan guru besar melaksanakan tanggungjawab, kreativiti dan inovasi di samping mempunyai rekod cemerlang sepanjang kerjaya sebagai guru.

”Sudah sampai masanya jawatan pengetua dan guru besar tidak boleh lagi disandang secara automatik tetapi perlu melalui suatu proses penapisan yang teliti dan melalui program latihan serta bimbingan yang komprehensif.

”Ini bermakna mereka (guru) harus melalui proses penilaian dari segi tahap kepemimpinan dan perkara lain berkaitan dengan kemampuan melaksanakan tanggungjawab. Kita nak menekankan soal kepimpinan sekolah untuk bukan hanya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) kementerian tetapi meningkatkan kualiti pendidikan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Nasional Pengurusan dan Kepemimpinan Pendidikan Ke-20 di IAB Genting Highlands dekat sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan Repositori IAB yang berfungsi sebagai pusat bagi menyimpan, mengumpul dan menyediakan hasil penerbitan karya ilmiah dan penyelidikan institut berkenaan.

Muhyiddin berkata, pemantapan proses pelantikan pengetua dan guru besar dilakukan berdasarkan rekod beberapa sekolah yang mencapai status cemerlang atas faktor daya kepimpinan sekolah berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kementerian Pendidikan akan membuat pertimbangan sewajarnya terhadap permohonan pertukaran sekolah bagi guru-guru yang hidup berjauhan dengan pasangan masing-masing.

Walau bagaimanapun ujarnya, perkara itu bergantung kepada kekosongan yang ada selain sebab munasabah.

”Masalah penempatan guru (pertukaran) kita hadapi sepanjang masa dan tahun lalu kita menerima hampir 20,000 permohonan. Tetapi realitinya, jumlah yang memohon adalah jauh lebih banyak berbanding kekosongan.

”Kita tidak boleh tukar begitu sahaja kecuali tempat yang dimohon ada kekosongan. Kalau guru bahasa Inggeris mahu pindah ke sekolah yang sudah ada ramai guru subjek itu dan mahu menukar opsyen (subjek lain), ini akan menjejaskan pembelajaran dan pengajaran,” tegasnya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130703/dn_03/Pengetua-guru-besar-dimantap#ixzz2XwHqeAva
© Utusan Melayu (M) Bhd

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s